Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Sesi Libat Urus Perpustakaan Sultan Badlishah Bersama Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Cawangan Kedah

17 Julai 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah telah berjaya melaksanakan Sesi Libat Urus bersama Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP), UiTM Cawangan Kedah bertempat di Aras 2, Perpustakaan Sultan Badlishah. Program ini berlangsung selama dua jam bermula dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan telah disertai seramai 41 orang pensyarah daripada fakulti berkenaan.

Tujuan utama sesi ini diadakan adalah bagi memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara pihak perpustakaan dan fakulti, di samping mendapatkan pandangan serta maklum balas secara langsung berkaitan keperluan maklumat, bahan rujukan, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan. Dalam sesi ini, pihak perpustakaan telah membentangkan pelbagai inisiatif terkini termasuk sumber elektronik, pangkalan data langganan, perkhidmatan maklumat penyelidikan, serta perkhidmatan digital yang disediakan oleh pihak perpustakaan. Perbincangan turut menyentuh isu-isu berkaitan penyampaian perkhidmatan, keperluan koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran, serta cadangan penambahbaikan ruang dan kemudahan untuk warga akademik yang telah dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan, bersama dua orang pustakawan iaitu Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir, Pustakawan Kanan yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat ini kepada para pensyarah.

Menariknya, program turut diisi dengan satu sesi taklimat mengenai penyediaan dan pengurusan surat rasmi yang telah disampaikan oleh wakil daripada Unit Arkib Universiti, Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP). Taklimat ini bertujuan memberi pencerahan berkenaan format rasmi surat-menyurat universiti, tatacara dokumentasi, pematuhan piawaian arkib, serta pentingnya pemeliharaan dokumen rasmi sebagai rekod organisasi. Kehadiran wakil Unit Arkib Universiti ini memberikan nilai tambah kepada program, memandangkan aspek pengurusan rekod merupakan komponen penting dalam urusan pentadbiran akademik dan fakulti.

Sesi turut diisi dengan soal jawab interaktif, di mana para pensyarah berpeluang menyuarakan keperluan khusus fakulti serta memberikan saranan konstruktif demi meningkatkan lagi keberkesanan fungsi perpustakaan sebagai penyokong utama akademik dan penyelidikan di universiti. Program ini mencerminkan komitmen Perpustakaan Sultan Badlishah dalam mendukung aspirasi UiTM untuk memperkasa budaya ilmu dan penyelidikan melalui pendekatan inklusif dan kolaboratif bersama fakulti-fakulti.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.