Shah Alam, 9 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menerima kunjungan istimewa daripada YBhg. Dato’ Sri Ibrahim bin Ahmad, mantan Ketua Pengarah MARA dan alumni Diploma Pentadbiran Awam Institut Teknologi MARA (ITM) tahun 1975. Kehadiran beliau adalah bersempena sesi rakaman audio siar khas yang berlangsung di Ruang Media PTAR sebagai salah satu inisiatif mendokumentasikan suara tokoh negara yang pernah memberi sumbangan besar dalam pembangunan institusi dan negara.

- Dato’ Sri Ibrahim Ahmad hadir ke PTAR untuk rakaman audio siar khas.
- Kongsi pengalaman sebagai mahasiswa ITM dan pandangan kepimpinan.
- Melawat LCE, Koleksi Khas Jawi & Sudut 3R bersama pengurusan PTAR.
Sesi rakaman tersebut mengetengahkan perkongsian eksklusif beliau mengenai pengalaman sebagai mahasiswa ITM pada era 1970-an, prinsip kepimpinan dalam perkhidmatan awam, serta peranan penting pendidikan tinggi dalam membentuk jati diri dan daya saing masyarakat bumiputera. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), mencerminkan kesinambungan legasi kepimpinan beliau dalam arena pendidikan negara.
Sebelum rakaman bermula, YBhg. Dato’ Sri Ibrahim telah diberi penghormatan untuk meneliti semula Fail Peribadi Pelajar ITM 1975 milik beliau, dokumen arkib yang amat bernilai dan disampaikan secara rasmi oleh En. Ahmad Amiri Mohamad, Pengarah Bahagian Arkib Universiti (BARU). Momen istimewa ini membawa beliau mengimbau kembali detik-detik bermakna sebagai pelajar dan semangat perjuangan menuntut ilmu suatu ketika dahulu.
Turut hadir menyambut kehadiran beliau ialah YBrs. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM. Selesai sesi rakaman, YBhg. Dato’ Sri Ibrahim telah diiringi melawat beberapa ruang perkhidmatan strategik PTAR seperti:
- Library Community Engagement (LCE)
- Koleksi Khas Jawi
- Sudut 3R di Aras 4
Lawatan ini turut disertai oleh En. Ahamad Zuber Mohamed, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, serta Pn. Nurul Farihah Sarmin Panut, Ketua Unit Korporat dan Kolaborasi PTAR.
Kunjungan ini mencerminkan usaha berterusan PTAR dalam memperkukuh hubungan dengan alumni terbilang serta memperlihatkan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, pelestari khazanah warisan dan sumber inspirasi kepimpinan negara. PTAR terus komited untuk menjadi pemangkin dalam menghimpun serta menyebarluaskan kisah-kisah tokoh yang dapat menyuntik semangat generasi masa kini.