Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

PTAR Perkukuh Jalinan Strategik Bersama ACIS melalui Sesi Meet & Greet

Shah Alam, 9 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), terus memperkukuh jaringan strategik melalui penganjuran sesi Meet & Greet bersama Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS). Inisiatif ini merupakan langkah proaktif PTAR dalam merapatkan hubungan kolaboratif antara perpustakaan dan fakulti, seterusnya menyokong pembangunan budaya ilmu serta memantapkan penyampaian perkhidmatan kepada warga universiti.

Program ini telah diselaras oleh Unit Perkhidmatan Pelanggan PTAR yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, En. Ahamad Zuber, bersama lima orang pegawai PTAR. Kehadiran Dekan ACIS, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno, bersama pengurusan tertinggi fakulti memperlihatkan komitmen bersama terhadap agenda pengukuhan kerjasama rentas jabatan dalam ekosistem akademik UiTM.

Antara pengisian utama sesi ini termasuk pembentangan mengenai perkhidmatan PTAR, akses maklumat, serta sokongan penyelidikan dan pengajaran. Turut diketengahkan ialah pelaksanaan Program Galakan Membaca "1 Warga, 24 Naskhah Bahan Bacaan" yang mendukung pencapaian Petunjuk Prestasi Universiti PI145 – Knowledge Society.

Beberapa cadangan dan peluang kerjasama yang telah dibincangkan bersama ACIS termasuk:

  1. Pengukuhan koleksi rujukan Jabatan Halal ACIS
  2. Permohonan bahan rujukan bagi Kursi Pendidikan dan Pengajian Islam
  3. Kolaborasi projek khidmat masyarakat seperti bengkel Speed Reading dan literasi maklumat
  4. Literasi AI dan maklumat untuk pelajar ACIS
  5. Cadangan pemindahan kandungan dari media sosial ACIS ke platform Memori UiTM
  6. Kerjasama dalam program Delegasi Indonesia (24 Julai 2025) dan Seminar Pelajar Indonesia (30 Julai 2025)
  7. Projek transliterasi manuskrip Arab bersama pensyarah kontrak ACIS
  8. Projek repositori digital bersama institusi Indonesia melalui MoU atau LoI
  9. Program Telaah Teks Klasik bersama Dr. Mohd. Dasuqkhi Mohd Sirajuddin
  10. Program telaah buku oleh Dekan ACIS sendiri
  11. Permohonan akaun Turnitin untuk pensyarah kehormat ACIS

Sesi perbincangan yang berlangsung selama dua jam ini membuahkan pelbagai idea kerjasama yang signifikan. Dalam ucapan penutupnya, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno menyatakan harapan agar semua cadangan yang dikemukakan dapat direalisasikan secara berterusan dan tidak terhenti pada sesi ini sahaja. Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap usaha PTAR dalam memperkasa budaya ilmu dan kolaborasi rentas fakulti.

Sebagai simbolik kepada komitmen bersama, sesi diakhiri dengan penyerahan Warkah Budaya Membaca UiTM oleh Ketua Pustakawan UiTM kepada pihak ACIS. Penyerahan ini menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan Inisiatif Galakan Membaca "1 Warga, 24 Naskhah", sekali gus memperkukuh aspirasi PTAR dalam membina komuniti pembelajaran yang aktif, celik maklumat dan berdaya saing melalui kerjasama strategik yang berterusan.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.