Shah Alam, 10 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), terus melangkah proaktif dalam memperkukuh jaringan strategik bersama fakulti menerusi penganjuran sesi Meet & Greet bersama Fakulti Undang-Undang (FUU) yang telah berlangsung di Bilik Mesyuarat 2, FUU.

- PTAR adakan sesi Meet & Greet bersama FUU untuk kukuhkan kerjasama strategik.
- Beberapa cadangan kolaborasi dikemukakan termasuk penggunaan ruang, podcast, dan penambahbaikan sistem rujukan.
- Penyerahan simbolik Warkah Budaya Membaca UiTM mengakhiri sesi sebagai tanda komitmen bersama.
Sesi ini dipimpin oleh Ketua Unit Perkhidmatan Pelanggan PTAR, Encik Ismail Abidin, bersama delegasi PTAR yang disambut oleh barisan pengurusan tertinggi FUU, diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat. Perbincangan selama dua jam ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara PTAR dan FUU, khususnya dalam menyokong keperluan maklumat, penyelidikan, serta pembangunan akademik warga fakulti.
Antara inisiatif yang diketengahkan oleh PTAR termasuklah sokongan terhadap penyelidikan dan pengajaran, kemudahan akses maklumat, serta pelaksanaan program Galakan Membaca “1 Warga, 24 Naskhah Bahan Bacaan” yang selaras dengan aspirasi universiti membina masyarakat berilmu dan celik maklumat.
Sesi ini turut mencadangkan beberapa bentuk kolaborasi yang berpotensi untuk dilaksanakan:
- Penggunaan ruang PTAR Undang-Undang sebagai lokasi seminar dan aktiviti pelajar
- Slot podcast bersama alumni FUU bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan bidang undang-undang
- Penambahbaikan sistem Paper Machine yang ditumpukan kepada sumber rujukan undang-undang
- Pemerkasaan fungsi ruang bacaan FUU untuk keperluan pelajar dan staf akademik
- Galakan pendaftaran alumni FUU sebagai ahli luar (External Membership) PTAR
Sebagai simbolik komitmen bersama, sesi diakhiri dengan penyerahan Warkah Budaya Membaca UiTM oleh Ketua Pustakawan kepada pihak FUU. Penyerahan ini mencerminkan sokongan terhadap usaha menyemarakkan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat di kampus.
Dengan berlangsungnya sesi ini, PTAR menegaskan komitmen berterusan dalam membina kampus berpengetahuan serta memperkasa budaya ilmu melalui kolaborasi aktif bersama fakulti dan komuniti akademik.