Library News

Program Bicara Bahasa dan Majlis Penutup Karnival Semarak Bahasa 2025

12 Oktober 2025 – Program Bicara Bahasa dan Majlis Penutup Karnival Semarak Bahasa 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi dan turut diserikan dengan ucapan daripada Profesor Dr. Roshima Haji Said, Rektor UiTM Cawangan Kedah serta Encik Sharrul Rizal Hashim, Pengarah DBP Wilayah Utara. Persembahan sajak, nyanyian, dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan turut memeriahkan suasana majlis, sekali gus menandakan kejayaan penganjuran yang berupaya menyemarakkan semangat cintakan bahasa dan budaya bangsa.

Ketibaan YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi diiringi Profesor Dr. Roshima Haji Said, Rektor UiTM Cawangan Kedah

serta Encik Sharrul Rizal Hashim, Pengarah DBP Wilayah Utara.

 

Sebelum majlis penutupan, para peserta telah mengikuti sesi Bicara Bahasa: Penggunaan Bahasa Melayu di Media Sosial oleh Generasi Muda yang bermula pada jam 2.30 petang. Sesi ilmiah ini menampilkan panel berpengaruh dalam dunia bahasa dan komunikasi iaitu YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Encik Ahmad Fedtri Yahya, dan Encik Mohamad Zaki Abdul Halim, dengan Saudara Tengku Aniq Ismara bin Tengku Ezuan Ismara sebagai moderator. Perbincangan memberi tumpuan kepada isu penggunaan bahasa dalam media sosial serta langkah memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap kepentingan mengekalkan kemurnian dan keindahan Bahasa Melayu di alam digital.

Para peserta turut didedahkan dengan pelbagai pandangan, strategi, dan pengalaman daripada tokoh bahasa dalam memperkasa penggunaan Bahasa Melayu secara kreatif dan beradab di platform komunikasi moden. Sesi interaktif ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta tentang peranan bahasa dalam dunia digital, malah menggalakkan mereka untuk menjadi duta bahasa yang beretika dan bertanggungjawab di media sosial.

Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kedah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara serta Perpustakaan Sultan Badlishah, bersempena Dekad Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Kedah. Ia berjaya menarik penyertaan seramai 811 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, staf dan tetamu jemputan, sekaligus mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai warisan bangsa yang terus hidup dan berkembang dalam arus kemodenan.

 

 

Tags: ,