Library News

UiTM Kampus Pasir Gudang Gamat dengan Penganjuran ACS EDU TOUR State Final 2025

Pasir Gudang, 14 Oktober 2025 – Suasana di Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang hari ini, 14 Oktober 2025, menjadi tumpuan para pelajar dan penggemar e-sukan sempena penganjuran ACS EDU TOUR State Final 2025 (Season 4) yang bermula seawal jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Program dua hari yang berlangsung dari 14 hingga 15 Oktober 2025 ini merupakan program anjuran Perpustakaan Tun Dr. Ismail UiTM Kampus Pasir Gudang berkolaborasi bersama CRIT eSports dan NSEA (National Student Esports Association) dengan sokongan pelbagai jenama dan penaja industri seperti Level Infinite, TiMi Studio, ZTE Nubia, Vico, Marigold, Maggie dan OneOne.
 
Pertandingan ini menjadi platform kompetitif bagi pelajar institusi pendidikan di seluruh negeri Johor untuk menonjolkan bakat dalam arena e-sukan sambil menerapkan elemen disiplin, kerjasama berpasukan dan kemahiran strategik. Selain itu, ia turut memupuk minat terhadap industri digital dan kreatif yang kian berkembang pesat di Malaysia.
 
Menariknya, ACS EDU TOUR State Final kali ini menawarkan pelbagai hadiah lumayan kepada pemenang, termasuk RM500 bagi tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM100. Penyertaan ke program ini adalah percuma, dengan pelajar yang hadir layak menerima e-MERIT, manakala setiapa peserta akan menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan.
 
Sekitar hari pertama penganjuran menyaksikan sambutan hangat daripada pelajar UiTM dan komuniti sekitar Pasir Gudang. Para pengunjung turut berpeluang mengunjungi booth pameran daripada pelbagai jenama seperti Tune Talk, CRIT, OneOne, ZTE Nubia, dan Vico, yang menampilkan aktiviti interaktif, permainan mini serta demonstrasi teknologi terkini.
 
Penganjuran ACS EDU TOUR State Final 2025 bukan sahaja memperkukuh kedudukan UiTM sebagai hos kepada acara e-sukan berskala negeri, malah turut menyokong usaha memperkasa generasi muda dalam bidang digital, teknologi dan inovasi sejajar dengan perkembangan industri kreatif negara.
 
Program ini dijangka diteruskan dengan pelbagai aktiviti pertandingan dan sesi interaktif pada hari kedua esok sebelum penutupan rasmi dan penyampaian hadiah kepada pemenang utama.
 
 
Tags: ,