SHAH ALAM, 1 Julai 2025 – Pusat Pengajian Perang Saraf Media & Informasi, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah menganjurkan National Security Forum 2025, sebuah wacana strategik yang memberi tumpuan kepada ancaman manipulasi isu 3R (Race, Religion, Royalty) dan implikasinya terhadap keselamatan negara.
Forum yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang bertempat di ruang Library Community Engagement (LCE), PTAR UiTM Shah Alam ini menghimpunkan barisan panel pakar keselamatan negara dan komunikasi strategik.
Antara panelis utama yang berkongsi pandangan dan kepakaran mereka ialah:
-
YDH DCP Dato' Mohammad Shaharul Md Osman, Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM)
-
YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, Chief Network Security Officer, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), merangkap alumni ITM/UiTM dari Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, bersama barisan kepimpinan Perpustakaan UiTM serta Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, Penasihat Pelajar dan Rakan Industri.
Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh budaya ilmu dan dialog terbuka demi menjamin keselamatan dan perpaduan negara. Antara isu penting yang dibincangkan termasuklah peranan komunikasi strategik, risikan digital, serta keperluan kerjasama rentas agensi dalam membendung eksploitasi isu 3R oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut penganjur, forum ini diadakan sebagai platform intelektual untuk memperkasa kefahaman warga universiti dan masyarakat umum mengenai ancaman baharu terhadap kedaulatan negara dalam era digital yang serba mencabar.
UiTM terus komited memainkan peranannya sebagai institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan keselamatan dan perpaduan nasional melalui usaha pendidikan, penyelidikan, dan jaringan strategik bersama agensi berkaitan.