SEGAMAT, 18 Jun 2025 – Kesedaran mengenai kepentingan pengurusan kewangan peribadi terus diperkuatkan melalui penganjuran program “Anda Bijak Urus Wang? AKPK Ada Jawapannya” anjuran Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) bertempat di Ruang LCE, Perpustakaan Tun Dr. Ismail 1 (PTDI 1), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 99 orang peserta, termasuk ahli jawatankuasa pelaksana, yang terdiri daripada pelajar dan warga kampus.
Antara pengisian utama adalah sesi ceramah interaktif yang disampaikan oleh wakil daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memberi tumpuan kepada asas pengurusan kewangan seperti merancang belanjawan, mengawal hutang, mengenal pasti risiko kewangan serta langkah-langkah mengelakkan terperangkap dalam bebanan kewangan – lebih-lebih lagi dalam era transaksi digital yang pesat berkembang.
Sambutan yang menggalakkan sepanjang program membuktikan bahawa isu kewangan peribadi semakin mendapat perhatian dalam kalangan generasi muda. Para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah turut memberi maklum balas positif terhadap kepentingan membudayakan tabiat berbelanja secara berhemah dan berdisiplin.
Program ini diharap menjadi titik tolak dalam melahirkan generasi celik kewangan, seterusnya membentuk masyarakat kampus yang lebih berdaya saing, selamat dari segi kewangan, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Hebahan media sosial : media sosial