SEGAMAT, 19 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor meneruskan komitmennya dalam mendidik dan membentuk generasi muda apabila menganjurkan Program Kecemerlangan Akademik & Sahsiah Pelajar – Hala Tuju Selepas SPM bersama pelajar SMK Canossian Convent. Bertempat di Dewan Canossa, program yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 1.00 tengah hari ini berjaya menghimpunkan 175 pelajar tingkatan lima dalam satu sesi penuh inspirasi dan motivasi.
Program ini bertujuan membuka minda para pelajar mengenai pelbagai pilihan dan laluan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain memupuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan remaja. Puan Mawar Noor Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan, telah menyampaikan ceramah utama yang menyentuh aspek penting dalam membuat keputusan pasca-SPM serta kepentingan membina jati diri dan hala tuju hidup yang jelas.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai slot interaktif termasuk sesi ice-breaking bersama En Faizul Azwan Jalil, aktiviti brain gym yang dikendalikan oleh Puan Izzatul Izwani, serta pengenalan kepada UiTM Johor oleh En Ahmad Akmal Ahmad. Turut bertindak sebagai fasilitator sepanjang program ialah En Muhammad Azhari Ja’afar.
Melalui pendekatan santai tetapi padat dengan mesej bermakna, program ini diharapkan dapat mencetuskan inspirasi serta semangat kepada para pelajar untuk merancang masa depan dengan lebih yakin dan berinformasi. PTDI percaya bahawa bimbingan awal seperti ini mampu mencorakkan hala tuju pelajar ke arah kecemerlangan akademik dan sahsiah secara holistik.
Hebahan media sosial : media sosial