Library News

Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan Hadir ke Mesyuarat Penyelarasan Program Tela’ah KPT di UKM

6 Ogos 2025 | 12 Safar 1447H 

Shah Alam – Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan telah mewakili institusi dalam menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Program Tela’ah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Mesyuarat tersebut telah diadakan pada 6 Ogos 2025 bertempat di Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi dan dihadiri oleh wakil-wakil perpustakaan akademik serta institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara.

Program Tela’ah merupakan inisiatif berbentuk rancangan bual bicara dalam talian yang memberi fokus kepada pengupasan kandungan buku-buku berasaskan pemikiran, falsafah, dasar awam dan pembangunan ilmu. Inisiatif ini diilhamkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi sebagai usaha memperkukuh budaya keilmuan di peringkat nasional.

Tela’ah bukan sahaja berperanan sebagai platform perbincangan intelektual, malah menjadi medan yang mempertemukan ilmuwan, cendekiawan, pembuat dasar dan masyarakat umum dalam wacana yang membina dan kritikal. Ia sekali gus mencerminkan komitmen KPT dalam membentuk masyarakat berpengetahuan, progresif dan beretika selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

UiTM, melalui kepimpinan Ketua Pustakawan, menyambut baik usaha ini dan menyatakan kesediaan untuk turut menyumbang secara aktif dalam pelaksanaan program tersebut. Ini sejajar dengan peranan perpustakaan universiti sebagai pusat ilmu yang mendukung pembangunan wacana intelektual serta penyebaran sumber ilmiah kepada masyarakat kampus dan umum.

Dengan penyertaan dalam Program Tela’ah, diharapkan budaya membaca dan berfikir kritis dapat terus dipupuk, sekali gus memperkukuh kedudukan perpustakaan sebagai pemangkin budaya ilmu di institusi pengajian tinggi.

Tags: ,