Library News

Warga PTAR Semarakkan Jalan-Jalan Kemerdekaan UiTM 2025

Menelusuri Kampus, Menyemai Semangat Cinta Negara

Shah Alam, 6 Ogos 2025 – Warga Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Shah Alam turut menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan melalui penyertaan dalam Program Jalan-Jalan Kemerdekaan UiTM 2025 yang berlangsung meriah pada pagi ini.

Program anjuran pihak universiti ini bermula seawal jam 7.30 pagi di kawasan Parkir Stadium UiTM Shah Alam dan menghimpunkan pelbagai lapisan warga kampus termasuk kakitangan pentadbiran, pensyarah, dan pelajar. Para peserta menyusuri laluan sejauh lebih 4.5 kilometer mengelilingi kampus sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menghayati semangat patriotik sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Penyertaan aktif warga PTAR dalam program ini mencerminkan komitmen institusi dalam menyemai nilai-nilai cintakan tanah air, memperkukuh jati diri kebangsaan serta membina perpaduan dalam kalangan komuniti kampus.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga UiTM untuk menyegarkan tubuh badan melalui aktiviti berjalan kaki, malah menjadi simbolik kepada semangat kebersamaan dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68.

UiTM meneruskan usaha menyemarakkan bulan kebangsaan dengan pelbagai program dan inisiatif berteraskan patriotisme, selaras dengan matlamat untuk melahirkan warga kampus yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga tinggi semangat cintakan negara.