Shah Alam, 6 Ogos 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dengan kerjasama Kelab Penolong Pendaftar UiTM terus memperkukuh agenda pemasyarakatan ilmu melalui penganjuran Siri Naskhah Cendekia 5/2025. Siri kali ini memberi fokus kepada karya pemikir ulung negara, Allahyarham Syed Hussein Alatas berjudul Perpustakaan dan Perkembangan Tamadun.

- Karya Syed Hussein Alatas dibincang dalam Siri Naskhah Cendekia 5/2025.
- Perpustakaan diperkasa sebagai nadi intelektual universiti.
- Program anjuran PTAR dan Kelab Penolong Pendaftar UiTM.
Karya yang diangkat membicarakan secara mendalam peranan perpustakaan sebagai institusi utama dalam mencerdikkan masyarakat serta sebagai pemangkin kepada pembinaan tamadun. Meskipun ditulis dalam konteks zaman yang berbeza, gagasan yang diketengahkan kekal signifikan dalam landskap pendidikan dan teknologi masa kini, khususnya dalam era pendigitalan maklumat.
Sesi wacana ilmiah ini menampilkan Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan sebagai panel jemputan utama. Dalam pembentangannya, beliau menekankan peri pentingnya perpustakaan sebagai nadi intelektual universiti dan pusat pengembangan ilmu yang inklusif serta dinamik. Menurut beliau, pemikiran Syed Hussein Alatas perlu terus dikaji dan difahami agar generasi kini tidak terputus daripada akar tradisi keilmuan yang membina jati diri bangsa.
Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik PTAR dalam menyemarakkan budaya wacana intelektual serta memperkukuh peranan perpustakaan sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat.
Orang ramai yang terlepas mengikuti sesi ini secara langsung boleh menonton rakaman penuh di saluran YouTube rasmi PTAR melalui pautan berikut: https://www.youtube.com/live/1Nnt_C2pYFo?si=yqOXI6s9GSGBuobC