Segamat, 7 Julai 2025 – Hari pertama Pertandingan Jejak Maklumat Pusat Sumber Sekolah Daerah Segamat telah berlangsung dengan penuh semangat dan jayanya di Ruang LCE, Perpustakaan Tun Dr. Ismail 1 (PTDI 1), UiTM Cawangan Johor.
Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Segamat ini telah menghimpunkan seramai 170 orang murid sekolah rendah dari seluruh daerah Segamat bersama 85 orang guru pengiring, menjadikan jumlah keseluruhan peserta mencecah 255 orang.
Antara pengisian utama yang mencuri tumpuan ialah Slot Energizer yang dikendalikan oleh Encik Faizul Azwan Jalil dan Puan Izzatul Izwani Ahmad, Pembantu Pustakawan PTDI. Slot ini berjaya menyuntik semangat serta membina semangat kerjasama dalam kalangan peserta sebelum mereka mengikuti Sesi Literasi Maklumat Pusat Sumber Sekolah yang disampaikan oleh Puan Noorhidayah Mohd Zohri, Penolong Pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Segamat.
Program ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh minat literasi maklumat sejak di bangku sekolah rendah, malah turut mengeratkan jalinan kerjasama strategik antara perpustakaan akademik dan institusi pendidikan peringkat sekolah.
Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat menyemarakkan budaya celik maklumat dalam kalangan generasi muda ke arah pembentukan masyarakat berilmu di masa hadapan.
Hebahan media sosial : media sosial