Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Menjejak Ilmu, Menyulam Minda: Pembukaan Meriah Jejak Maklumat Daerah Segamat - Hari Kedua

Menjejak Ilmu, Menyulam Minda: Pembukaan Meriah Jejak Maklumat Daerah Segamat - Hari Kedua

Pertandingan Jejak Maklumat Pusat Sumber Sekolah Daerah Segamat – Hari Kedua telah berlangsung dengan jayanya pada 8 Julai 2025 bertempat di Ruang LCE dan CGS Trading Room, Perpustakaan Tun Dr. Ismail 1 (PTDI 1), UiTM Cawangan Johor. Program ini melibatkan seramai 53 orang murid sekolah menengah dari daerah Segamat bersama 25 orang guru pengiring, menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 78 orang.

Seperti hari pertama, program dimulakan dengan Slot Energizer yang dikendalikan oleh Encik Faizul Azwan Jalil dan Puan Izzatul Izwani Ahmad, Pembantu Pustakawan PTDI, bagi menyuntik semangat dan membina kerjasama dalam kalangan peserta. Seterusnya, pelbagai sesi ilmiah dan perkongsian menarik telah diadakan antaranya sesi bertajuk Anda, Robot dan Kata-kata (ChatGPT) yang disampaikan oleh Encik Ahmad Akmal Idris (Pustakawan Kanan), diikuti dengan sesi Kemana Hala Tuju Kita? oleh Puan Mawar Noor Abdullah (Timbalan Ketua Pustakawan). Peserta juga turut didedahkan dengan teknik membaca pantas melalui slot Literasi Sekolah: Speed Reading yang disampaikan oleh Puan Noredayu Rosli (Pustakawan Kanan) serta sesi Literasi Maklumat Pusat Sumber Sekolah oleh Puan Noorhidayah Mohd Zohri, Penolong Pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Segamat.

Program ini bukan sahaja menjadi landasan penting dalam memupuk minat terhadap literasi maklumat dan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar sekolah menengah, malah turut memperkukuh hubungan strategik antara perpustakaan akademik dan institusi pendidikan. Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini akan terus menyemarakkan budaya celik maklumat serta memupuk semangat cintakan ilmu dalam kalangan generasi muda.

Hebahan media sosial : media sosial

Tags: ,