Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Perkongsian Ilmu Pengurusan Rekod dan Arkib antara UiTM dan Lembaga Getah Malaysia

Shah Alam, 3 Julai 2025 – Bahagian Arkib, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam satu sesi perkongsian ilmu berkaitan amalan terbaik pengurusan rekod dan arkib secara digital.

Delegasi seramai lima orang pegawai dari LGM hadir khusus untuk mendapatkan pendedahan dan memahami pelaksanaan sistem Digital Document Management System (DDMS) serta Archive Management System (AMS) yang digunakan oleh UiTM. Sesi ini turut menjadi platform untuk pertukaran pengalaman dalam pengurusan dokumen secara sistematik dan bersepadu.

Bahagian Arkib UiTM diwakili oleh Puan Azura Mohamad Hashim, Timbalan Ketua Pustakawan, yang berkongsi berkenaan struktur operasi, proses kerja serta cabaran dan kejayaan pelaksanaan sistem digital di UiTM. Wakil dari LGM pula terdiri daripada Puan Hazlina Razali (Ketua Unit Pentadbiran), Puan Mimi Safinaz Jamaluddin (Ketua Unit Teknologi Maklumat), Puan Nor Faezah Ismail (Pegawai Tadbir, Seksyen Perpustakaan), Puan Siti Shazwani Mohd Naziruddin (Pegawai Teknologi Maklumat), dan Puan Azlina Pa’wan (Pegawai Tadbir, Unit Pentadbiran).

Menariknya, tiga daripada wakil LGM yang hadir merupakan alumni Institut Teknologi MARA (ITM) dan UiTM, yang menambah nilai dalam jalinan hubungan strategik antara kedua-dua institusi.

Lawatan ini diharapkan dapat membuka ruang kerjasama lebih erat dalam aspek pembangunan dan pemantapan sistem pengurusan dokumen digital, serta menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu secara berterusan antara UiTM dan LGM.

Tags: ,