Program Mengangkat Harga Diri & Maruah Anak Didik Kita: Mission Possible 4.0 telah berjaya dilaksanakan pada 19 Jun 2025 (Khamis) di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, dengan penglibatan seramai 9 orang murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Program ini adalah hasil kolaborasi strategik antara PTAR UiTM Perak, Unit Kaunseling & Kerjaya UiTM Perak, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan, yang menyasarkan penyediaan ruang pembelajaran berfokus, bersemangat dan inklusif untuk pelajar MBPK bersedia menghadapi SPM dengan lebih yakin.
🎯 Antara pengisian utama program ialah:
-
Teknik Menjawab Kertas Soalan Sejarah SPM – memberi panduan praktikal kepada pelajar dalam memahami kehendak soalan dan cara menjawab dengan tepat dan padat.
-
Teknik Menjawab Kertas Soalan Bahasa Melayu SPM – membantu murid mengenal pasti kata kunci penting dan memperkemas struktur jawapan agar lebih berkesan.
-
Speed Reading oleh PTAR – memfokus kepada kaedah bacaan pantas bagi meningkatkan kecekapan membaca, tumpuan, dan daya ingatan.
-
Slot Motivasi oleh Unit Kaunseling & Kerjaya – menyuntik semangat dan membina keyakinan diri murid MBPK melalui aktiviti motivasi interaktif dan mesra.
Sesi Speed Reading telah dikendalikan oleh:
🔹 Encik Mohd Azhari bin Maarop, Pembantu Pustakawan Kanan
🔹 Encik Akhimulah Azmi, Pembantu Pustakawan
Mereka membimbing para peserta dengan pendekatan mesra MBPK yang menekankan pembelajaran praktikal dan pengalaman positif.
Sepanjang program, guru pengiring dan pegawai dari PPD Kinta Selatan turut hadir memberikan sokongan moral yang penting dalam memastikan kelancaran sesi dan keterlibatan aktif semua peserta.
Program ini membawa mesej jelas bahawa keupayaan murid MBPK tidak harus dinilai melalui keterbatasan, tetapi harus diraikan melalui potensi dan keunikan mereka. Melalui pendekatan holistik seperti ini, peserta bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu dan teknik, malah turut disuntik dengan semangat untuk melangkah ke dewan peperiksaan dengan lebih berani dan yakin.