21 Ogos 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Agama Islah Pendang, bermula jam 9.00 pagi hingga 10.30 pagi. Lawatan ini disertai oleh seramai 30 orang pelajar bersama 3 orang guru pengiring dengan objektif utama memberi pendedahan mengenai suasana pembelajaran di peringkat universiti serta peranan perpustakaan dalam menyokong kecemerlangan akademik.
Sepanjang sesi lawatan, para pelajar diberikan taklimat pengenalan mengenai fungsi perpustakaan universiti, peranan dalam menyokong pembelajaran dan penyelidikan, serta kepelbagaian kemudahan yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar di UiTM. Taklimat ini bertujuan memberi gambaran awal kepada pelajar sekolah menengah tentang kepentingan literasi maklumat, pembelajaran kendiri, dan penggunaan sumber rujukan yang lebih sistematik.
Program ini turut memberikan peluang kepada pelajar untuk melihat secara dekat persekitaran kampus yang kondusif dan budaya ilmu yang diterapkan dalam kalangan pelajar universiti. Suasana ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada mereka untuk menanam semangat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Para pelajar kelihatan teruja dengan perkongsian pengalaman yang diberikan sepanjang lawatan berlangsung.
Menurut guru pengiring, lawatan ke Perpustakaan Sultan Badlishah ini memberi pengalaman baharu yang amat bermanfaat untuk pelajar. “Program sebegini mampu memupuk minat membaca, meningkatkan motivasi serta memperluas wawasan pelajar terhadap dunia pendidikan tinggi,” ujar beliau. Pihak Perpustakaan Sultan Badlishah berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap dapat terus menjadi destinasi rujukan ilmu bagi sekolah-sekolah di seluruh negeri Kedah pada masa akan datang.