Library News

Lawatan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mutiara

2 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Mutiara, Kulim, Kedah. Lawatan akademik ini berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan penyertaan seramai 40 orang pelajar bersama 4 orang guru pengiring. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang kepentingan perpustakaan dalam dunia akademik serta peranannya dalam menyokong pembelajaran.

Sepanjang sesi lawatan, para pelajar diperkenalkan kepada peranan perpustakaan akademik dalam membantu pelajar universiti mencapai kecemerlangan. Mereka juga diberi penerangan tentang kepentingan literasi maklumat dalam era digital yang semakin mencabar. Pendedahan ini diharap dapat membina kesedaran awal dalam diri pelajar mengenai cara memanfaatkan sumber maklumat secara berkesan, sama ada untuk pembelajaran formal mahupun kendiri.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman pembelajaran di kampus universiti. Suasana yang kondusif dan persekitaran ilmu yang diterapkan di UiTM Cawangan Kedah dilihat dapat menyuntik semangat baharu kepada pelajar untuk lebih fokus terhadap pencapaian akademik mereka. Guru-guru pengiring juga menyifatkan kunjungan ini sebagai langkah positif dalam membina jati diri pelajar agar lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan tinggi pada masa hadapan.

Menurut salah seorang guru pengiring, program sebegini dapat membuka minda pelajar terhadap kepentingan ilmu pengetahuan serta memupuk minat mereka untuk melanjutkan pengajian ke menara gading. Pihak Perpustakaan Sultan Badlishah pula amat berbesar hati menerima lawatan ini dan berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada hubungan berterusan antara sekolah dan universiti, sekali gus memperkukuh budaya membaca dan semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar.

Tags: , ,