Pasir Gudang, 10 September 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang menjadi tuan rumah bagi program Jelajah Ilmu Maahad Tahfiz 2025 pada 10 September 2025 yang disertai oleh pelajar dan guru dari Maahad Tahfiz Al-Iman Sedili.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bertujuan memperkukuh budaya ilmu serta memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kepentingan penguasaan ilmu pengetahuan sebagai pelengkap kepada pengajian Al-Quran.
Sepanjang program, seramai 70 orang pelajar diiringi 8 orang guru didedahkan dengan kepelbagaian sumber maklumat yang terdapat di PTDI, kemudahan pembelajaran yang disediakan, serta pengisian ilmiah yang dapat menyokong kecemerlangan akademik dan kerohanian. Para pelajar juga mengambil peluang ini untuk mengisi maklumat dalam program NILAM dengan bahan bacaan yang diperoleh dari PTDI.
Turut hadir, Ustaz Mohd Farhan Ahmad, pensyarah dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) yang memberi taklimat berkaitan program pengajian Islam kontemporari dalam memperkenalkan mengenali laluan pendidikan tinggi yang boleh diceburi selepas menamatkan pengajian tahfiz, serta Puan Ruqaiyah binti Abdul Rahim, Koordinator Kursus dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) yang berkongsi mengenai laluan pendidikan dalam bidang perniagaan, pengurusan dan keusahawanan.
Penganjuran Jelajah Ilmu ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam menyokong pembangunan ilmu merentas institusi serta melahirkan generasi yang seimbang dari aspek akademik, intelektual dan kerohanian
Menurut pihak penganjur, program seumpama ini bukan sahaja mempererat hubungan silaturahim antara UiTM dan institusi tahfiz, malah mampu menyemai semangat cintakan ilmu dalam kalangan pelajar agar terus berdaya saing di peringkat lebih tinggi.