Shah Alam, 29 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menerima kunjungan istimewa daripada penyampai radio THR Gegar, Issey Fazlisham, yang juga alumni Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM Kampus Puncak Perdana (kohort 2008 & 2011).

- DJ Issey lawat Koleksi Khas Jawi PTAR dan rakam podcast anjuran Alumni UiTM.
- Beliau kongsi pengalaman sebagai alumni dan kepentingan memartabatkan tulisan Jawi.
- Program ini eratkan hubungan alumni dan sokong pemerkasaan budaya ilmu UiTM.
Kehadiran beliau disambut oleh Ketua Pustakawan UiTM, YBhg. Ts. Hj. Azizi bin Haji Jantan, yang turut mengiringi beliau dalam lawatan ke Koleksi Khas Jawi PTAR. Koleksi ini merupakan antara inisiatif penting dalam memelihara dan memartabatkan khazanah intelektual bertulisan Jawi yang menjadi warisan budaya negara.
Lawatan tersebut turut diadakan bersempena rakaman episod Podcast “Zaman Now” anjuran Persekutuan Alumni UiTM dengan kerjasama Institute of Continuing Education and Professional Studies (ICAN) dan PTAR. Dalam rakaman itu, Issey berkongsi kisah inspirasi perjalanan hidupnya sebagai alumni UiTM, termasuk kenangan zaman kampus dan kepentingan melestarikan ilmu serta budaya.
Menurut Issey, beliau berasa bangga dapat kembali menyumbang kepada universiti dalam bentuk pengisian ilmiah yang memberi manfaat kepada komuniti kampus dan masyarakat umum. Beliau turut menekankan nilai tulisan Jawi sebagai seni, warisan dan sumber ilmu yang harus dihargai oleh generasi kini.
Program ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam menghubungkan alumni dengan institusi serta memartabatkan budaya ilmu dan warisan melalui pendekatan moden dan inklusif.