Pasir Gudang, 28 Julai 2025 – Dalam usaha memperkukuh budaya celik maklumat dalam kalangan pelajar sekolah menengah, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan program Bengkel Ilmu Bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.
Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif Khidmat Komuniti Sekolah dan merupakan hasil jalinan kerjasama strategik antara tiga institusi utama iaitu PTDI UiTM Cawangan Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, dan pihak SMK Tanjung Puteri Resort sendiri.
Program telah berlangsung pada Isnin, 28 Julai 2025 bermula jam 8.00 pagi hingga 1.30 petang, dengan pengisian yang tertumpu kepada pendedahan berkaitan kemahiran literasi maklumat, termasuk cara mengenal pasti maklumat sahih, penggunaan sumber rujukan yang betul serta etika dalam carian maklumat atas talian. Tidak dilupakan juga Bengkel Membaca Pantas yang turut mengisi slot Bengkel Ilmu Bestari kali ini. Aktiviti interaktif turut dijalankan bagi memastikan penglibatan aktif dalam kalangan pelajar sepanjang program berlangsung.
Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan ilmu dalam kalangan generasi muda, Perpustakaan Tun Dr. Ismail turut menyumbangkan sejumlah buku bacaan ilmiah dan motivasi kepada pihak sekolah. Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan memperkaya koleksi bahan bacaan di pusat sumber sekolah, malah diharap dapat menambah minat membaca dalam kalangan pelajar.
Menurut wakil penganjur dari PTDI, program seumpama ini merupakan salah satu usaha berterusan pihak perpustakaan dalam memperkasakan komuniti melalui ilmu serta mendekatkan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat sekitar.
Program ini turut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga sekolah dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program khidmat komuniti pendidikan pada masa akan datang.