Siri Wacana Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Bil. 3 Angkat Warisan Warkah Diraja Terengganu ke Peringkat Dunia
Shah Alam, 26 Jun 2025 – Perpustakaan UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM telah menganjurkan Siri Wacana Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Bil. 3 bertajuk “Memartabatkan Warisan Warkah Diraja Terengganu Dalam Peringatan Dunia UNESCO” pada 26 Jun 2025 bermula jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Program ilmiah ini telah dikendalikan oleh YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang bin Sariyan, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM selaku moderator. Wacana ini turut menampilkan Prof. Madya Dr. Riswadi Bin Azmi, Pengarah Pusat Ihsan, Universiti Malaysia Terengganu sebagai panel jemputan yang berkongsi pandangan dan kepakaran beliau dalam usaha memartabatkan Warkah Diraja Terengganu ke pentas dunia melalui pengiktirafan UNESCO.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada nilai sejarah, warisan dan identiti bangsa yang terkandung dalam Warkah Diraja Terengganu serta kepentingan pemeliharaan dokumen bersejarah tersebut agar terus dihayati dan dihargai oleh generasi akan datang.
Program ini telah disiarkan secara langsung melalui platform media sosial rasmi Perpustakaan UiTM Cawangan Selangor di Facebook dan YouTube, yang membolehkan lebih ramai warga kampus serta masyarakat umum mengikuti dan menimba ilmu berkaitan warisan bangsa.
Program seperti ini diharap dapat terus memperkukuh jati diri nasional dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya pemeliharaan warisan dan sejarah negara.