5 Disember 2025 – Satu lawatan kerja telah diadakan ke Perpustakaan Mini Datuk Dr. Prasad di Jeram, Kuala Selangor bagi membincangkan potensi sumbangan koleksi perundangan milik Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham kepada perpustakaan. Lawatan ini disertai oleh Ketua PTAR Undang-Undang (PTUU), Puan Masnida Hanim binti Che Mahmood, Pembantu Pustakawan PTUU, Encik Remie bin Salleh Udin, Pengarah Bahagian Sumber Rujukan Universiti (BSRU), Dr. Hajah Adlina binti Abdullah, serta Pustakawan BSRU, Encik Abdul Razak bin Abdul Rahman. Perbincangan ini merupakan langkah awal ke arah memperkukuh sumber rujukan perundangan serta kerjasama strategik antara pihak perpustakaan dan tokoh perundangan negara.

Latar Belakang Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham:
Datuk Dr. Prasad merupakan tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman. Beliau telah menyertai The Honourable Society of Middle Temple pada tahun 1975 sebelum memulakan kerjaya sebagai anggota badan kehakiman negara. Beliau pernah berkhidmat sebagai:
- Hakim Mahkamah Tinggi Malaya (2011)
- Hakim Mahkamah Rayuan (2014)
- Hakim Mahkamah Persekutuan (2017–2018)
Selain itu, beliau turut menyumbang kepakaran sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Lawatan ini membuka peluang kerjasama berkaitan penyumbangan koleksi bernilai tinggi yang dapat memperkaya sumber rujukan perundangan di UiTM, sekaligus memperkukuh jaringan profesional dengan tokoh perundangan negara.

