
ALOR GAJAH, 15 Julai 2026 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti berasaskan ilmu menerusi penyertaan dalam Program Komuniti Cakna Ilmu Bilingual (KOCIBI 2.0): Membina Generasi Mustahiq Junior Dalam Arab–English.
Program anjuran Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) dengan kerjasama PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah ini melibatkan penyertaan pelajar Sekolah Rendah Arab (SRA) JAIM Al-Faizin. PTAR telah diwakili oleh Cik Hazlin binti Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP).
Program komuniti berasaskan pemindahan ilmu ini dilaksanakan melalui aktiviti interaktif seperti permainan bahasa, kuiz serta penggunaan modul dan kit KOCIBI yang direka khusus bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Inisiatif ini turut memberi pendedahan kepada pendekatan pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan kepada para guru.
Sebagai pusat pembudayaan kecemerlangan ilmu, penglibatan PTAR dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan perpustakaan dalam memperluaskan akses kepada ilmu, memperkasa literasi pelbagai bahasa serta menyokong pembangunan modal insan yang berdaya saing melalui jalinan kerjasama strategik bersama komuniti. Diharapkan inisiatif seperti ini akan terus melahirkan generasi muda yang berilmu, berkeyakinan dan mampu menguasai kemahiran komunikasi global selaras dengan aspirasi pendidikan negara.






Sekitar program sedang dijalankan
Ditulis oleh: Hazlin Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP), PTAR UiTM Cawangan Melaka