Program Bedah Buku bersama Penulis UiTM Cawangan Terengganu

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun telah mengadakan Program Bedah Buku bersama Penulis UiTMCT pada 10 Januari 2024, Rabu yang lalu. Penulis jemputan bagi program ini ialah Dr. Abdul Wahab Md Ali, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTMCT. Beliau merupakan penulis bagi buku yang bertajuk “Sekati Gandum Secubit Garam” terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. dan buku ini baharu sahaja diterbitkan di pasaran pada Disember 2023.

Bertempat di Sudut AZKA @ Library Community Engagement (LCE), program ini dilaksanakan secara bersemuka dan juga disiarkan secara langsung di platform Facebook Perpustakaan Cendekiawan selama satu jam bermula jam 11.00 pagi. Ianya dikendalikan oleh En. Ahmad Fathi bin Azhari Azmi, Pembantu Pustakawan, selaku Moderator, manakala perincian bedah buku pilihan telah disampaikan oleh Dr. Abd. Wahab bin Md. Ali yang juga dikenali dengan nama pena Abd. Wahab Paloh Nyior.

Objektif utama program ini ialah untuk mempromosi karya tulisan warga UiTMCT di samping menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat melalui platform perkongsian ilmu. Interaksi antara dua hala penulis dan pembaca secara tidak langsung memberi peluang kepada penulis di kampus untuk mengetahui cara mengenal pasti kekuatan penulisan. Program ini juga menggalakkan warga kampus untuk menghasilkan karya kreatif tulisan sendiri dengan mengetahui kaedah dan selok-belok penulisan hingga ianya diterbitkan.

Buku yang bertajuk “Sekati Gandum Secubit Garam” ini mengandungi 24 bab berkenaan adab-adab yang boleh dijadikan pengajaran dan rujukan di dalam kehidupan seharian. Oleh itu, berakhlak dengan akhlak yang baik itu tidaklah mudah. Ia memerlukan didikan sejak kecil dan usaha berterusan untuk mengekalkan kelakuan yang mulia itu agar terus sebati dalam diri. Individu yang berakhlak mulia lebih cenderung untuk dihormati dan disenangi manusia apatah lagi jika terzahir nilai-nilai Islam dalam dirinya.

Turut diselitkan ialah sesi ulasan buku oleh pembaca iaitu Saudari Nur Amirah Aqilah binti Udin, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Cendekiawan yang mengulas buku dari perspektif pembaca. Secara keseluruhannya program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga kampus iaitu dengan kehadiran seramai 70 orang peserta yang terlibat secara bersemuka mahupun atas talian. E-merit pula hanya disediakan kepada pelajar yang hadir secara bersemuka sahaja, manakala rekod jam latihan staf UiTM disediakan untuk semua staf UiTM yang hadir.

Penulis juga turut menawarkan diskaun istimewa kepada semua warga UiTMCT yang berminat membeli buku tulisan beliau itu. Secara keseluruhannya program ini telah mencapai objektif dengan jayanya. Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua yang telah melibatkan diri dalam program ilmu ini. Semoga ianya dapat menambah pengetahuan kita dan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Disediakan oleh:
1. Nur Hidayah Rosli, Pelajar Praktikal
2. Abd Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply