Lawatan Sambil Belajar SK Binjai ke Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT

Pada 11 Januari 2024, Khamis yang lalu, Perpustakaan Cendekiawan, UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar SK Binjai, Kemaman, Terengganu. Seramai 38 orang pelajar beserta lima orang guru pengiring telah mengikuti lawatan ini yang bertujuan untuk memberikan motivasi kepada para pelajar sekolah agar lebih bersemangat menuntut ilmu hingga ke menara gading.

Dimulakan dengan sesi ucapan aluan oleh Cik Asmahani Abdullah selaku wakil pengurusan perpustakaan, delegasi lawatan diberi penerangan ringkas tentang kemudahan, perkhidmatan serta koleksi bahan perpustakaan serta perincian program lawatan yang juga diselitkan aktiviti XploreRead kepada para pelajar. Turut memberi ucapan ialah Cikgu Mohd Razali Bin Mat Hussin, Guru Besar SK Binjai, yang turut berbesar hati menyertai lawatan ini. Beliau dalam ucapannya sangat teruja hadir ke UiTMCT dan berharap agar hubungan baik antara kedua-dua pihak dapat diteruskan pada masa akan datang. Untuk makluman, Pusat Sumber As-Syafie SK Binjai telah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (APPSK) 2019 Kategori Sekolah Rendah. Lawatan kali ini boleh dikatakan sebagai lawatan balas selepas Perpustakaan Cendekiawan hadir ke SK Binjai bagi mengadakan Program Ilmu Mengubah Destini pada tahun 2019 yang lalu. Delegasi lawatan kemudiannya telah dibawa melawat ke sekitar bangunan perpustakaan, sebelum memulakan aktiviti XploreRead yang dikendalikan oleh staf Perpustakaan Cendekiawan.

Antara aktiviti XploreRead yang disediakan ialah teka silang kata, kuiz teka perkataan, menulis jawi dan aktiviti main guli. Para pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan dan bergerak melaksanakan aktiviti pada empat checkpoint yang disediakan. Hadiah kepada pemenang permainan ini  bagi telah disampaikan oleh En. Md Kamil Ibrahim, Pustakawan Kanan.

Diharapkan sesi lawatan ini dapat memupuk minat para pelajar untuk lebih bersemangat belajar dan menanamkan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Selamat maju jaya daripada kami semua warga Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT.

Disediakan oleh:
1. Nur Hidayah Rosli, Pelajar Praktikal
2. Abd. Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply