Sesi e-Latihan Taklimat Penggunaan Basic NAS Storage: Synology Diskstation DS920+

Unit Arkib UiTM Cawangan Terengganu dengan kerjasama Bahagian Infostruktur, UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun dan Kuala Terengganu, telah melaksanakan Sesi e-Latihan Taklimat Penggunaan Basic NAS Storage: Synology Diskstation DS920+ secara atas talian (Google Meet) pada 31 Julai 2023, Isnin, yang lalu.

Sesi ini telah melibatkan Pengurus Rekod Jabatan (PRJ) dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) yang dilantik sebagai pengurus rekod di unit/bahagian/jabatan masing-masing. Seramai 31 orang PRJ dan 49 orang PTRJ dari ketiga-tiga kampus UiTMCT telah menyertai sesi taklimat ini. Sesi yang bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Encik Ahmad Wahyudi binti Mohd Lazim, Jurutera Sistem,Teliti Infotech Sdn Bhd.

Antara pengisian semasa sesi e-latihan tersebut ialah Perkongsian Hala Tuju Projek Digitalisasi: Projek Membudayakan Aplikasi Digital dii UiTM Cawangan Terengganu (ProMADT) 2023 oleh En. Md Kamil bin Ibrahim (Pustakawan Kanan), yang juga merupakan Penyelaras Unit Arkib UiTMCT, selaras dengan objektif program iaitu mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan, capaian dan pengesanan rekod dengan tepat, cepat serta seragam, menyokong hasrat universiti ke arah pengurangan penggunaan kertas dalam urusan harian jabatan, di samping mewujudkan keseragaman pengurusan rekod dan dokumen. Selain itu, antara maklumat yang turut dikongsikan merangkumi tatacara penggunaan NAS Storage: Synology Diskstation DS920+, kepentingan untuk membudayakan pengurusan fail secara digital serta impak projek digitalisasi kepada setiap PTJ di UiTMCT.

Sesi e-latihan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada warga UiTMCT dalam pengurusan dokumen/fail yang lebih efisyen dan mudah dicapai apabila diperlukan. Usaha ini adalah kesinambungan untuk merealisasikan Projek Digitalisasi: Projek Membudayakan Aplikasi Digital (ProMADT) di UiTM Cawangan Terengganu. Semoga ianya dapat dilaksanakan dan mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak pengurusan tertinggi UiTMCT, Ketua PTJ, ahli jawatankuasa ProMADT, PTJ dan PTRJ di ketiga-tiga kampus UiTMCT.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply