Bicara Industri: Kerjaya Graduan bersama Flowco (M) Sdn. Bhd.

Shah Alam, 13 April 2023 – Program Live @ PTAR menerusi Segmen Bicara Industri kali ini telah menampilkan panel luar UiTM iaitu Eksekutif Sumber Manusia Flowco (M) Sdn. Bhd. Encik Izhar Fahmi manakala Saudari Siti Hajar Roslim sebagai moderator program.

Program ini telah bersiaran secara langsung pada hari Khamis bermula jam 10:00 pagi hingga 11:00 pagi di Ruang Media, PTAR.

Melalui segmen kali ini tajuk yang dikongsikan ialah “Kerjaya Graduan bersama Flowco (M) Sdn. Bhd.”.

Encik Izhar ada menyatakan latar belakang mengenai Flowco (M) Sdn.Bhd. ini. Beliau memberitahu bahawa syarikat ini merupakan syarikat pembekal peralatan minyak dan gas runcit hiliran terkemuka dan syarikat penyedia perkhidmatan penyelenggaraan di Malaysia. Ibu pejabat syarikat ini terletak di Kota Damansara, Kuala Lumpur. Terdapat 6 lokasi gudang Flowco ini di Malaysia iaitu di Sungai Petani, Johor Bahru, Marang, Kelantan, Selangor dan Kota Kinabalu.

Encik Izhar juga ada berkongsi mengenai produk yang dibuat oleh Syarikat Flowco (M) ini. Produk-produk di syarikat ini akan dibeli bergantung kepada tahap penggunaan syarikat petrol pam itu sendiri. Ada yang membeli satu sahaja produk dan ada yang membeli lebih daripada satu. Kemudian, perkhidmatan yang ditawarkan juga pelbagai (penampalan, pembaikan) dan akan dilakukan selama tiga bulan sekali atau enam bulan sekali.

Seterusnya, pekerjaan yang ditawarkan juga banyak, antaranya pekerjaan bahagian teknikal dan bahagian pejabat. Bagi bahagian teknikal, kelayakan akademiknya perlu memiliki sijil elektrikal, mekanikal dan teknikal. Bukan itu sahaja, kelayakan yang perlu ada juga sekurang-kurangnya diploma dalam bidang kejuruteraan. Manakala bahagian pejabat pula, perlu memiliki asas dalam pengurusan data, pentadbiran, penganalisaan dan pemasaran.

Kemudian, bagi pengambilan latihan industri, syarikat Flowco (M) ini sangat mengalu-alukan pelajar yang ingin menjalani latihan industri di syarikat mereka. En Izhar ada menyatakan bahawa sesiapa yang ingin menjalani latihan industri di syarikat Flowco (M) ini akan diberi peluang untuk memilih bahagian yang diminati. Seterusnya, mereka akan diajar dari awal mengenai pengurusan syarikat, perkhidmatan serta produk syarikat. Bagi sesiapa yang ingin memohon pekerjaan di syarikat ini, anda boleh menghantar resume anda terus ke emel En Izhar. Akhir sekali, nasihat daripada Encik Izhar kepada generasi muda yang menceburi ke alam pekerjaan dan para graduan adalah mereka perlu ada sifat ingin tahu dan bercita-cita tinggi. Kemudian, fokus kepada cita-cita tersebut dan membuat kajian sedikit mengenai mana-mana syarikat yang mereka mohon itu.

Kesimpulannya, perkongsian yang telah disampaikan oleh Encik Izhar Fahmi amat membantu graduan yang mahu merebut peluang pekerjaan di syarikat tersebut. Oleh itu, program bicara industri seperti ini diharapkan dapat diteruskan lagi agar dapat membantu generasi muda pada masa akan datang.

Program bicara industri ini telah mendapat sambutan daripada kalangan penonton yang terdiri daripada penjawat awam serta para pelajar menerusi saluran Youtube Perpustakaan UiTM dengan jumlah views sebanyak 274 manakala saluran Facebook Perpustakaan UiTM adalah sebanyak 15 views.

Program ini adalah kesinambungan daripada program anjuran bersama PTAR dan PERKESO Negeri Selangor pada 21 Februari 2023.

Nama penulis: Eizza Farahneeda Mohd Nizam (Pelajar Latihan Industri Kumpulan 6/2023)

Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply