Program SharingRizq@Library UiTMCT Bil. 3/2023: Gotong-royong Bubur Lambuk

Program SharingRizq@Library merupakan inisiatif kongsi rezeki warga Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun yang diadakan setiap bulan di samping menyokong Sustainable Development Goals ke-2: Zero Hunger. Bagi pelaksanaan Program SharingRizq@Library Bil. 3/2023 pada 21 Mac 2023, Selasa yang lalu, Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun bersama dengan Kampus Bukit Besi dan Kuala Terengganu, telah mengadakan kerjasama dengan Unit Polis Bantuan untuk menyiapkan bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga UiTMCT. Turut dijemput memeriahkan program ialah pesara staf perpustakaan.

Program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dengan agenda sarapan bersama, seterusnya penyediaan bahan mentah bubur lambuk dan menu masakan tengahari. Gotong royong memasak bubur lambuk ini telah menghasilkan lebih 200 bekas bubur lambuk untuk diagihkan di pintu masuk UiTMCT Kampus Dungun. Bubur lambuk ini juga diagih-agihkan sendiri ke unit dan bahagian kampus oleh En. Shahrol Nizam bin Johol, Timbalan Ketua Pustakawan. Untuk makluman, idea dan pilihan menu ini dipilih bersempena menyambut Ramadhan 1444 Hijrah yang jatuh pada 23 Mac 2023, Khamis.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada ketua projek iaitu En. Ahmad Fathi Azhari bin Mohd Azmi, Pembantu Pustakawan, yang berjaya merealisasikan idea ini.

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak!

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply