Kunjungan hormat PTAR ke atas Presiden Majlis Belia Negeri Selangor

Sungai Panjang, 9 Mac 2023 – Kunjungan hormat oleh Bahagian Korporat & Kolaborasi, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) ke atas Presiden Majlis Belia Negeri Selangor YB Dato’ Mohd Imran Tamrin telah diadakan di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar. 

Pertemuan mesra yang berlangsung selama dua jam ini bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama antara kedua belah pihak khususnya dalam bidang pengurusan maklumat. 

Memulakan sesi perbincangan tepat jam 11:00 pagi, YB Dato’ Mohd Imran telah berkongsi tentang latar belakang mukim Sungai Panjang. Terletak di daerah Sungai Besar dan mempunyai bentuk muka bumi yang rata dan berhampiran laut Selat Melaka, kebanyakan penduduknya adalah petani dan nelayan. Disamping itu, penduduk Sungai Panjang mempelbagaikan sumber ekonominya menerusi pelancongan agro agar terus berdaya saing. Sebagai tarikan buat generasi muda, pelbagai insentif disedia seperti penggunaan teknologi dalam pertanian, penambahbaikan infrastruktur dan pertambahan prasarana terutama liputan rangkaian internet. 

Ketua Timbalan Pustakawan Tuan Ts. Hj. Azizi bin Jantan memfokuskan tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Pustakawan UiTM terhadap komuniti. Terdapat tiga program yang bersifat kemasyarakatan iaitu program Speed Reading, program kemahiran pencarian maklumat dan program Pengurusan Sistem Maklumat. Ketiga-tiga program ini dirasakan amat bertepatan untuk dikongsi bersama komuniti Sungai Panjang agar manfaat dapat diraih bersama. 

Beberapa situasi turut dikongsi oleh YB Dato’ Mohd Imran mengenai kemahiran pengurusan maklumat yang cekap. Antara kemahiran yang dirasakan perlu diterapkan dalam komuniti adalah kemahiran pencarian maklumat, teknik pengindeksan dan aplikasi teknologi maklumat. 

Sebelum kunjungan berakhir, YB Dato’ Mohd Imran telah menyatakan persetujuan awal untuk bersiaran secara langsung dalam program Live@PTAR sempena sambutan Hari Belia Negara yang disambut setiap tahun pada bulan Mei. 

Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply