Ketua Pustakawan PTAR, UiTM Meluangkan Masa Menziarahi Staf Perpustakaan Ditimpa Musibah Kebakaran

Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman, Ketua Pustakawan PTAR, UiTM telah sudi meluangkan masa selama dua jam bermula jam 10:00 pagi hari Jumaat bertarikh 9 September 2022, bagi menziarahi Encik Noorwazit Nuruddin, Pembantu Pustakawan Kanan, Perpustakaan Alam Bina Tun Abdul Razak, Shah Alam, Selangor, yang ditimpa musibah kebakaran di kediaman beliau. 

Kehadiran Ketua Pustakawan PTAR telah diiringi oleh tiga (3) orang staf PTAR iaitu Encik Khairul Idzwan Mohd Saad, Encik Mohd Adib Mohd Mohsin dan Encik Muhammad Fikree Rahmat dan disambut oleh Encik Noorwazit dan isteri, Puan Siti Aisha Hassan. 

Menurut Encik Noorwazit, kejadian kebakaran berlaku pada 5 September 2022 hari Isnin jam 4:30 petang berpunca daripada litar pintas.

Sewaktu kejadian hanya anak perempuan beliau berusia sembilan (9) tahun mendiami rumah tersebut dan sempat menyelamatkan diri. 

Rumah dua tingkat yang didiami oleh Encik Noorwazit sekeluarga di nombor 287 Jalan Medan 20 PJS/20, Taman Medan, 46000 Petaling Jaya, Selangor telah mengalami kemusnahan di ruang bawah dan sebahagian ruang atas hingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit. 

Lewat petang itu, Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya telah berjaya memadamkan kebakaran sebelum merebak ke kediaman lain. 

Seluruh warga kerja perpustakaan turut berdukacita atas musibah kebakaran yang menimpa Encik Noorwazit sekeluarga. Oleh itu, PTAR telah menyerahkan sumbangan wang tunai daripada warga kerja PTAR Shah Alam serta Jawatankuasa Tazkirah PTAR, Shah Alam,  demi meringankan beban yang ditanggung oleh Encik Noorwazit. 

Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman (kanan) telah menyampaikan sumbangan daripada warga kerja PTAR, Shah Alam. 
Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply