Live@PTAR: Program Sambutan Bulan Kemerdekaan Segmen Bicara Khas; Sumpah Sang Saka Biru Merdeka

Sempena menyambut bulan kemerdekaan tanggal 31 Ogos 2022, program Live@PTAR telah mengundang Yang Dihormati (YDH) Timbalan Pesuruhjaya Polis (TPP) Dato’ Hj. Ghazali bin Hj. Daud untuk bersiaran secara langsung bagi membicarakan tentang topik kemerdekaan. Program ini telah diadakan pada 16 Ogos 2022 hari Selasa.

YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali bin Hj. Daud lahir pada 4 Jun 1964 di Kuala Terengganu dan memulakan kerjaya di Shah Alam pada Februari 1988 sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah berpangkat Inspektor. Telah berkhidmat di dalam pasukan polis selama 34 tahun. Kini, YDH DCP Dato’ Hj. Ghazali berkhidmat di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Agama dan Kaunseling).

Sepanjang perkongsian pengalaman selama 90 minit daripada perspektif pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali telah mengupas topik kemerdekaan dengan lancar dan berkesan. Puan Siti Salwa binti Abdul Rahman, Pustakawan Kanan, PTAR telah bertindak selaku moderator program ini telah melontarkan soalan yang mengupas makna kemerdekaan buat masyarakat Malaysia hari ini.

Mengimbas kembali detik-detik getir sepanjang perkhidmatan di PDRM, YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali tidak mungkin melupakan pengalaman beliau menangani kes berprofil tinggi seperti kes Akta Keselamatan Dalam Negeri, lazimnya dikenali sebagai ISA (Internal Security Act), kes pemalsuan dokumen dikalangan pendatang asing, kes gerakan Al-Arqam yang diketuai oleh Ashaari Muhammad, kes pembunuhan ADUN Batu Talam atau lebih dikenali sebagai kes Mona Fandey bersama pembantunya Juraimi Husin, kes penjenayah Kalimuthu (Bentong Kali) dan pelbagai kes lagi. Ini menunjukkan keazaman seorang anggota polis mempertahankan keamanan dan mengutamakan kesejahteraan masyarakat daripada ancaman yang boleh menggugat hidup masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali menambah bahawa setiap tugas mempunyai cabaran tersendiri termasuklah tugas menjaga keamanan negara. Menyorot kembali pengalaman beliau bertugas selama lebih tiga dekad itu, YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali berpengalaman melalui dua zaman berbeza iaitu ketika penghujung era komunis dan masa kini. Sewaktu era komunis, PDRM bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan tanah air daripada ancaman komunis sehingga ramai anggota keselamatan negara terbunuh. Cabaran masa kini pula ialah menangani penjenayah moden seperti jenayah judi dalam talian sehingga wujud jabatan-jabatan baharu di dalam PDRM seperti Jabatan Narkotik dan Jabatan Kenayah Komersial, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Trafik dan Jabatan Integriti dan Pemetaan Standard.

Mengulas lebih lanjut berkenaan kompleksiti masyarakat berasaskan gender, beliau berpendapat apabila kemajuan pesat, beban kompleksiti berlaku dalam masyarakat malah di mana-mana juga sehingga mengakibatkan berlakunya perkara yang tidak diduga. Justeru, institusi kekeluargaan perlu diperkasakan agar anak-anak tidak terjerumus dalam pengaruh negatif.

YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali sentiasa mengingatkan betapa seluruh rakyat Malaysia harus bersyukur atas nikmat keamanan yang dikecapi. Perbandingan kehidupan masyarakat hari ini dengan detik ketika negara belum mengecapi kemerdekaan amatlah berbeza dan digambarkan sebagai amat sukar apabila majoriti penduduk dahulunya bekerja sebagai petani dan penoreh getah namun berjaya melahirkan generasi yang berjaya meneruskan kelangsungan hidup. Tambahan pula, generasi yang bijak dan berjaya bukan semata-mata bersandarkan kelulusan akademik jika tidak dilengkapi dengan ilmu kerohanian. Natijahnya, kecemerlangan yang dikecapi tidak bererti malah membawa kehancuran sehingga dunia semakin rosak, kepanasan global berlaku dan tidak berakhlak akibat kurangnya ilmu kerohanian. Mengambil iktibar daripada itu, generasi hari ini perlu mengambil semangat ibu bapa dahulu dalam hal ehwal mengurus dan mendidik anak-anak agar membentuk suatu generasi yang bertamadun. Beliau berpendapat kerosakan dan musibah boleh dihindari apabila setiap umat Islam tetap tekun mendirikan solat.

Tentang persediaan generasi hari ini bagi menghadapi ancaman, YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali menyatakan bahawa masyarakat harus berpegang teguh dengan ajaran agama dan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat tumpuan masyarakat. Beliau menceritakan kisah bagaimana nabi Musa menolak untuk berjumpa seorang wanita yang telah melakukan dosa besar, namun tetap Allah ampunkan dosa wanita itu. Ini menunjukkan sifat Maha Pengampun Allah Ta’ala.

Menjawab persoalan samada masyarakat prihatin dan masyarakat terlampau prihatin, YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali merujuk kepada trend masa kini apabila penyebaran maklumat terus dibuat tanpa disemak kesahihan sumber maklumat. Merujuk kepada firman Allah Ta’ala yang bermaksud “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik yang membawa berita, hendaklah kamu siasat terlebih dahulu”. Oleh itu, beliau menyarankan agar setiap maklumat yang diterima perlu di selidik kesahihannya agar tidak menimbulkan kekacauan dalam masyarakat. Beliau turut memetik hadis nabi yang bermaksud orang yang bijak ialah orang yang bertindak mengikut prinsip ajaran agama dan golongan ini akan mendapat balasan baik di akhirat kelak.

YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali turut menyarankan agar setiap rakyat Malaysia mematuhi perlembagaan negara dan undang-undang yang telah dibina demi mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Bagi penghayatan sempena sambutan 65 tahun kemerdekaan, setiap masyarakat perlu menghayati semangat patriotisme dan nasionalisme agar negara Malaysia terpelihara dan aman.

Di akhir perbincangan, YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali yang minat membaca buku genre agama menyimpulkan bahawa kunci ilmu pengetahuan ialah Iqra’ atau membaca. Beliau mengesyorkan agar penonton menjadikan amalan membaca buku bersama keluarga suatu amalan harian demi memupuk minda masyarakat agar kekal aktif.

Program ini telah ditonton sebanyak 1,335 tontonan di saluran YouTube Perpustakaan UiTM (pautan https://www.youtube.com/watch?v=KoMfvt0ZrqE), dan saluran Facebook Perpustakaan UiTM (pautan PTAR https://www.facebook.com/libraryuitm/videos/3225471111105958/).

YDH TPP Dato’ Hj. Ghazali (kanan) sewaktu program Live@PTAR Sumpah Sang Saka Biru Merdeka
Avatar photo
Asmah binti Sabtu PTAR 1 Shah Alam

Leave a Reply