Program Khidmat Masyarakat (CSR) : Transit Ilmu (Fasa 1)

22 Jun 2022 – Rabu, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat (CSR): Transit Ilmu (Fasa1) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Melaka sesi 2021/2022. Program ini telah diketuai oleh Puan Sariah Che’ Man, Pembantu Pustakawan Tertinggi, sebagai Ketua Projek bagi Program Transit Ilmu, bersama kakitangan PTAR UiTM Cawangan Melaka dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah. Program ini akan dijalankan mengikut 2 fasa. Bagi fasa 1, program telah berjaya dilaksanakan pada 22 Jun 2022. Program yang berunsurkan pendidikan dan pembelajaran ini dilaksanakan bagi bertujuan manifestasi komitmen tanggungjawab sosial Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Melaka ke arah membudayakan tabiat membaca dikalangan murid-murid sekolah di sekitar Daerah Alor Gajah.

Program ini melibatkan 6 buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Talib Karim, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Dol Said, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan, Sekolah Kebangsaan Alor Gajah 1, Sekolah Kebangsaan Lendu dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Naning.  Seramai 6 orang ahli jawatankuasa telah ditempatkan di setiap sekolah yang terdiri daripada 2 orang kakitangan perpustakaan bersama 4 orang pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar.

Bagi Program Transit Ilmu Fasa 1 ini bermula seawal jam 9.00 pagi dan berjalan serentak di semua sekolah yang terpilih. Setiap sekolah yang terlibat akan diberikan pinjaman buku sebanyak 200 naskah melalui perkhidmatan pinjaman “Bulk Loan”. Tempoh “Bulk Loan” ini diberikan selama satu bulan, bermula pada tarikh 22 Jun 2022 sehingga 21 Julai 2022.

Pelbagai aktiviti latihan dalam kumpulan telah dijalankan sepanjang program berlangsung, antaranya:

  1. Siapakah Aku?
  2. Masukkan Pen itu?
  3. Boleh Ingat Ke?
  4. Kuiz Sejarah.

Diharapkan dengan adanya program seperti ini, dapat memupuk minat membaca dikalangan pelajar sekolah untuk cintakan buku dan menanam sifat minat membaca dikalangan generasi muda masa kini seterusnya dapat memperkenalkan perkhidmatan – perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PTAR UiTM Cawangan Melaka kepada luar khususnya untuk pelajar sekolah. Program Transit Ilmu Fasa 2 dijangka akan dilaksanakan pada 26 Julai 2022 bertempat di UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.

Maklumat lanjut: https://www.facebook.com/ptarmelaka

Ditulis oleh : Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka

Avatar photo
Hazlin Ibrahim Khan PTAR Alor Gajah Melaka

Leave a Reply