Pameran Seni Warisan Melayu

9 hingga 31 Januari 2022 – Telah berlangsung Pameran Seni Warisan Melayu secara fizikal. Pameran ini mengetengahkan koleksi sejarah lisan daripada pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Cawangan Johor. Turut dipamerkan adalah alat muzik seperti Gendang Ibu, Gendang Anak, Gong, Kenong, Saron, Kompang, Kuda Kepang dan Wau. Selain itu, terdapat juga contoh baju Seni Silat Gayung dan alat seni pertahanan diri iaitu Celoreng.

Tayangan video berkaitan seni warisan melayu turut ditayangkan sebagai nilai tambah bagi melengkapkan pameran ini. Koleksi buku yang berkaitan juga disediakan kepada pengunjung agar nilai warisan melayu ini dapat didalami dengan lebih mendalam.

Antara objektif pameran adalah :

  • Mempamerkan bahan/ koleksi sejarah lisan yang merupakan hasil koleksi daripada pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat.
  • Memberi maklumat kepada pengunjung Perpustakaan tentang seni warisan melayu.
  • Menghayati dan menghargai nilai sejarah agar tidak dilupakan oleh masyarakat pada masa kini. 

Pertandingan kuiz berkaitan Seni Warisan Melayu turut diadakan bagi menarik perhatian pengguna Perpustakaan. Pengunjung perlu membuat imbasan pada QR Code yang disediakan serta mengambil gambar sebagai bukti penglibatan dalam pameran yang dianjurkan. Hadiah menarik turut disediakan kepada 10 orang pemenang. Pertandingan kuiz ini telah menerima sebanyak 59 penyertaan dan kehadiran peserta di pameran ini adalah seramai 72 orang.

Pameran ini mendapat kerjasama daripada Fakulti Pengurusan Maklumat, Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Siput, Mukim Jementah dan Pensyarah Ustaz Syazali Effendi bin A. Wahab yang merupakan Tenaga Pengajar Seni Silat Gayung di UiTM Cawangan Johor. En. Mohd Farizal bin Aziz, Pembantu Pustakawan Kanan turut menyumbangkan Wau buatan sendiri.

Pihak Perpustakaan Tun Dr. Ismail merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diatas kesudian pihak yang berkenaan untuk meminjamkan peralatan seni warisan melayu. Tidak dilupakan ribuan terima kasih kepada ahli jawatankuasa pameran yang terlibat. Semoga pameran ini memberi manfaat kepada pengunjung yang menyertainya.

Penulis : Siti Rozana binti Mat Sanat

Siti Rozana Mat Sanat PTDI Segamat Johor

Leave a Reply