Saturday, 14 Jamadilawwal 1446
Saturday, 16 November 2024

Library News

Program Literasi Maklumat Bersama Sekolah Parlimen Bagan Datuk

Pada 6 - 8 September 2024 yang lepas, PTAR telah mengadakan Bengkel Literasi Maklumat bersama sekolah-sekolah dari Parlimen Bagan Datuk, Perak.

Program kolaborasi kali ini dijayakan bersama Kelab Silaturahim Bagan Datuk, Majlis Perwakilan Pelajar, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam selaku tuan rumah.

Siri kedua ini menjadi penandaaras yang terbaik kerana melibatkan gabungan kolaborasi terbanyak serta melibatkan seramai 110 orang pelajar Tingkatan 4 dan diiringi 7 orang Pegawai Pendidikan Daerah. Siri pertama telah berjaya dilaksanakan pada 2 hingga 4 Ogos yang lalu melibatkan SMKA Sultan Azlan Shah, Perak.

Turut hadir pada Majlis Makan Malam meraikan pelajar-pelajar ini adalah YB Dato' Shahrul Zaman Datuk Yahya, Adun Rungkup. Beliau melahirkan rasa kagum dengan pelaksanaan program ini terutama untuk membina pembangunan ilmu dalam kalangan pelajar sekolah sebagai persediaan melangkah ke pengajian tinggi.

Program berlangsung selama 3 hari 2 malam ini juga memberi gambaran dan simulasi kepada pelajar sebagai mahasiswa universiti dengan aktiviti riadah serta diselitkan elemen kepimpinan yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar. Penggerak utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar kemahiran literasi maklumat dalam kalangan komuniti sekolah bagi memperkasa pembudayaan ilmu. Antara pengisian program adalah Bacaan Pantas, Celik Maklumat, 3R (Royal, Race & Religion) dan Taklimat Kemasukan ke UiTM.

Kami percaya dan yakin program seumpama ini akan menjadikan peranan perpustakaan sebagai rujukan budaya ilmu utama yang meraikan warga dan komuniti melalui keterbukaan penyampaian perkhidmatan untuk melahirkan generasi intelektual tinggi.

Kredit gambar : Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan Urusetia Program Perpustakaan Tun Abdul Razak.
 
Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.