10 Jamadilawal 1446H | 12 Oktober 2024
Shah Alam — "Dalam setiap helaian rekod ini, ada kisah perjuangan, pencapaian, dan harapan yang tidak boleh dilupakan," ujar Tan Sri Dato' Sri Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), saat menyaksikan dokumen peribadinya dari tahun 1976 yang kembali ke tangannya setelah sekian lama.
Momen mengharukan ini terjadi selepas raptai Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. Fail peribadi milik Tan Sri, yang merangkumi surat tawaran Institut Teknologi MARA (ITM), borang tamat pengajian, dan borang permohonan asrama, diserahkan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, dengan disaksikan oleh Tuan Haji Muhamad Nizam bin Noordin, Pendaftar UiTM.
Ketika membuka dokumen tersebut, Tan Sri Dato' Sri Mohd Khamil berulang kali menyatakan, "I'm touched, you managed to retrieve it!" Beliau terharu melihat kondisi dokumen yang masih baik dan rapi disimpan oleh Bahagian Arkib Universiti Teknologi MARA. Antara dokumen yang paling mengusik hati beliau adalah permohonan pengurangan bayaran asrama, yang dilakukan kerana kesulitan kewangan yang dialaminya ketika itu. "Bukan semuanya mudah dan indah," katanya, mengenang saat-saat penuh cabaran yang dialaminya sebagai mahasiswa.
UiTM berterima kasih kepada Bahagian Arkib Universiti yang bertanggungjawab memastikan dokumen-dokumen penting ini terus terjaga dan akhirnya kembali menemui pemiliknya. Peristiwa ini juga menambah nilai kepada istiadat konvokesyen kali ini, dengan kehadiran kisah inspirasi di sebalik setiap helaian dokumen yang bersejarah.