PTAR Sumbang 216 Naskhah Buku Bernilai RM27,380.46 Kepada Perpustakaan Goon International College

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam meneruskan komitmennya dalam memperkasa jaringan ilmu dan memperkukuh hubungan kolaboratif dengan institusi pengajian tinggi melalui inisiatif sumbangan bahan bacaan.

Pada 28 Oktober 2024, PTAR telah menyumbangkan sebanyak 216 naskhah buku dengan nilai keseluruhan RM27,380.46 kepada Perpustakaan Goon International College, yang kini dalam fasa awal penubuhannya di Bangunan Cahaya Suria, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

Sumbangan ini merupakan maklum balas kepada permohonan rasmi oleh Encik Thaha Husain bin Zainudin, Ketua Pustakawan Goon International College. Beliau menyatakan keperluan menambah koleksi bacaan bagi bidang teknologi maklumat, pengurusan, pemasaran, bahasa, perundangan, kepolisan, pendidikan awal kanak-kanak, psikologi, dan bacaan umum yang sesuai dengan keperluan pelajar institusi tersebut.

Sumbangan bahan bacaan ini diharap dapat memperkukuh koleksi rujukan akademik di perpustakaan berkenaan serta menjadi sumber ilmu yang bermanfaat kepada para pelajar dan tenaga pengajar.

Inisiatif ini sejajar dengan hasrat PTAR untuk terus berperanan sebagai rakan strategik ilmu dalam memperluas capaian sumber bacaan dan memperkaya khazanah pendidikan di peringkat nasional.

Tags: