Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Teaching Library Programme

Lawatan SMK Lokman Hakim ke Galeri Tun Abdul Razak Pupuk Kesedaran Sejarah dan Pendidikan

29 April 2025 | 1 Zulkaedah 1446H

SHAH ALAM – Seramai 109 orang pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim, Kota Tinggi, Johor telah mengadakan lawatan ilmiah ke Galeri Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada pagi tadi.

Lawatan ini disambut mesra oleh pihak galeri dan dimulakan dengan sesi taklimat serta lawatan berpandu yang memperkenalkan rombongan kepada sejarah penubuhan UiTM, sumbangan besar Allahyarham Tun Abdul Razak dalam bidang pendidikan, serta pencapaian UiTM di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pelajar dilihat teruja melihat pelbagai bahan pameran, khususnya koleksi jubah konvokesyen, dokumen bersejarah, serta paparan interaktif yang memperlihatkan evolusi pendidikan tinggi Bumiputera sejak era awal penubuhan institusi ini.

Menurut salah seorang guru pengiring, lawatan ini merupakan satu platform yang sangat bermanfaat untuk pelajar. “Ia membuka peluang kepada mereka untuk lebih mengenali sejarah pendidikan negara dan menghargai peranan tokoh penting seperti Tun Abdul Razak dalam membentuk masa depan Malaysia,” ujarnya.

Galeri Tun Abdul Razak berfungsi sebagai pusat informasi dan pameran yang meraikan sejarah, pencapaian, dan nilai perjuangan UiTM. Galeri ini turut menjadi medan pembelajaran luar bilik darjah bagi pelajar dari pelbagai peringkat, termasuk sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

UiTM melalui Galeri Tun Abdul Razak terus mengalu-alukan kunjungan masyarakat, warga akademik, serta komuniti antarabangsa bagi memupuk kecintaan terhadap ilmu, sejarah, dan jati diri kebangsaan.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.