Segamat, 30 April 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah berjaya menganjurkan Ceramah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bertempat di Ruang LCE, PTDI serta turut disiarkan secara dalam talian melalui platform Google Meet. Ceramah ini merupakan salah satu inisiatif berterusan PTDI dalam memperkasa pengetahuan dan kesedaran terhadap aspek keselamatan di tempat kerja dalam kalangan warga kampus.
Ceramah yang berlangsung selama satu jam ini telah disampaikan oleh Puan Hairiani Abd Hamid, Pensyarah Kanan dari UiTM Cawangan Johor, yang berkongsi panduan serta amalan terbaik berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) berdasarkan pengalaman serta kepakaran beliau. Antara topik utama yang disentuh termasuk pengurusan risiko, amalan kerja selamat, serta pentingnya kesihatan mental dalam kalangan pekerja.
Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 205 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan serta pelajar UiTM Johor, menunjukkan tahap kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti kampus terhadap isu-isu keselamatan dan kesejahteraan di tempat kerja.
Menurut pihak penganjur, ceramah ini bukan sahaja memberi ilmu baharu kepada peserta, malah diharap mampu mencetuskan perubahan positif dalam budaya kerja harian serta menjadi langkah proaktif ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan produktif.
PTDI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan program ini, khususnya kepada penceramah jemputan atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat. Semoga ceramah ini menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program seumpamanya pada masa akan datang.
Hebahan media sosial : media sosial