MELAKA, 29 April 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah melaksanakan penyerahan rasmi dokumen permohonan pendaftaran harta intelek kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam satu urusan yang berlangsung di MiTC, Ayer Keroh, Melaka.
Penyerahan tersebut telah dikendalikan oleh dua orang wakil PTDI iaitu Encik Azmi Samsuri dan Encik Muhamad Faizul Azwan Jalil. Dokumen yang diserahkan merangkumi borang permohonan pendaftaran sistem perpustakaan dalaman yang dibangunkan secara inisiatif oleh pihak PTDI.
Pembangunan sistem ini merupakan salah satu langkah proaktif PTDI dalam memperkukuhkan pengurusan akses bahan bacaan dan perkhidmatan perpustakaan secara lebih efisien, mesra pengguna, serta berpaksikan teknologi. Langkah mendaftarkan sistem ini juga merupakan usaha strategik untuk melindungi hak cipta dan harta intelek warga perpustakaan selaras dengan dasar dan aspirasi UiTM dalam pemeliharaan hasil intelektual.
Penyerahan ini menandakan komitmen PTDI dalam menjadikan inovasi dalaman sebagai satu aset yang diiktiraf dan dilindungi undang-undang. Pihak PTDI berharap agar permohonan ini mendapat kelulusan sewajarnya daripada MyIPO dan membuka lebih banyak ruang ke arah pengiktirafan hasil kerja intelektual staf perpustakaan.
Hebahan media sosial : media sosial