SEGAMAT, 30 Mei 2025 – Program Write It Right Bootcamp: Technical Writing Mastery – Research and Citation Skills for Graduate on Time Success telah berjaya dianjurkan selama dua hari bermula 29 hingga 30 Mei 2025 bertempat di CGS Trading Room, Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Program anjuran bersama Jawatankuasa TREK HEA Special Project, inisiatif Jom Sambung PhD, dan Perpustakaan Tun Dr. Ismail ini bertujuan meningkatkan tahap kemahiran penulisan teknikal serta pengurusan sumber rujukan dalam kalangan pelajar pascasiswazah, seiring dengan matlamat institusi melahirkan graduan tepat pada masanya (Graduate on Time).
Sepanjang program berlangsung, para peserta diberi pendedahan intensif berkaitan penulisan akademik, termasuk persediaan menghadapi sesi pembentangan cadangan penyelidikan (defense proposal), teknik membina snowball citation, serta penggunaan pangkalan data seperti Scopus, Web of Science dan Google Scholar dalam mengenal pasti jurnal berimpak tinggi.
Turut diberi penekanan ialah penyediaan profil akademik menggunakan Google Scholar serta penggunaan perisian pengurusan rujukan Mendeley. Peserta turut didedahkan dengan kaedah penyediaan in-text citation dan senarai rujukan secara sistematik mengikut gaya penulisan yang ditetapkan.
Dua penceramah berpengalaman dijemput bagi mengendalikan sesi bengkel iaitu Dr. Jannah Munirah Mohd Noor, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Kampus Segamat dan Puan Noredayu binti Rosli, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tun Dr. Ismail, yang merupakan pakar dalam bidang Literasi Maklumat dan Pengurusan Rujukan.
Seramai 58 orang peserta terpilih dari pelbagai fakulti menyertai program ini. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan rata-rata peserta menyifatkan pengisian program sangat membantu serta relevan dalam menyokong keperluan penulisan tesis dan penyelidikan mereka.
Menurut urus setia, program ini bakal dijadikan acara berkala dalam kalendar sokongan akademik pelajar pascasiswazah UiTM Cawangan Johor bagi memperkukuh pencapaian akademik serta memupuk budaya penyelidikan yang mampan dan berkualiti tinggi.
Hebahan media sosial : media sosial