BENGKEL SENI ANYAMAN KETUPAT: MENYULAM TRADISI
Tarikh: 5 Jun 2025
Tempat: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Aras 1, UiTM Kampus Bandaraya Melaka
Masa: 9.00 pagi - 12.00 tengah hari
Jumlah peserta: 55 orang
Bengkel Seni Anyaman Ketupat: Menyulam Tradisi telah dianjurkan bagi memelihara dan memartabatkan seni warisan Melayu yang kian dilupakan, khususnya seni anyaman ketupat. Program ini menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar, staf serta anak-anak warga kampus, dan dikendalikan oleh Dr. Nor Ashikin Shaharuddin dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.
Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan tentang sejarah dan nilai simbolik ketupat, serta teknik asas menganyam menggunakan daun kelapa dan daun nipah. Aktiviti berlangsung dalam suasana santai dan interaktif, termasuk pameran serta amali "hands-on" menganyam dan mengetatkan kolongsong ketupat.
Bengkel ini berjaya mencapai objektif untuk menghidupkan semula minat terhadap seni tradisional, memupuk nilai kesabaran dan kerjasama, serta mengeratkan silaturahim antara staf akademik dan pentadbiran dari tiga kampus iaitu Alor Gajah, Bandaraya dan Jasin.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dilaksanakan dan mendapat maklum balas positif daripada peserta. Diharapkan bengkel seumpama ini dapat diteruskan bagi memastikan kelestarian seni warisan bangsa.