Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Sesi Libat Urus PTAR-FSG: Perpustakaan Mendepani Keperluan Akademik Fakulti

Shah Alam, 3 Julai 2025 – Satu langkah proaktif dalam memperkukuh hubungan strategik antara Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah direalisasikan menerusi sesi libat urus Meet and Greet PTAR x FSG yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, FSG, UiTM Shah Alam.

Sesi yang berlangsung dari jam 2.30 hingga 4.30 petang ini telah dipengerusikan oleh Pengarah PTAR, En. Ahamad Zuber bin Zainal, bersama Dekan FSG, Prof. Ts. Dr. Mohd Rozi Ahmad. Ia menjadi platform penting bagi membincangkan keperluan akademik warga fakulti serta mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh dimanfaatkan secara bersama.

Antara agenda utama yang diketengahkan termasuk:

  • Inisiatif Galakan Membaca “1 Warga, 24 Naskhah” sebagai usaha meningkatkan budaya membaca dalam kalangan warga fakulti.

  • Program Literasi Maklumat dan Pembudayaan Ilmu yang dirangka bagi menyokong proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

  • Sokongan Akademik menerusi perkhidmatan seperti Turnitin dan pembangunan Self Material.

  • Memori UiTM: Arkib Digital Sejarah Fakulti, sebagai usaha dokumentasi dan pendigitalan warisan intelektual FSG.

  • Penubuhan Briged Sukarelawan PTAR yang akan melibatkan pelajar FSG dalam aktiviti perpustakaan dan pembangunan komuniti akademik.

Turut dibincangkan ialah cadangan daripada pihak fakulti untuk memperkasakan platform MyReading serta inisiatif latihan berkala kepada pensyarah bagi memaksimumkan penggunaan sumber perpustakaan secara efektif.

Sesi ini jelas mencerminkan komitmen bersama ke arah mewujudkan ekosistem akademik yang berteraskan budaya ilmu tinggi, selari dengan aspirasi UiTM untuk membina universiti masa depan yang berdaya saing dan inovatif.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.