SEGAMAT, 4 Julai 2025 – Bagi menyahut seruan Amanat Ketua Pustakawan UiTM 2025 yang menekankan kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental di tempat kerja, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) telah menganjurkan Program Sejahtera 360: Sihat Bersama pada pagi Jumaat bertempat di PTDI 1. Program selama satu jam yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 9.00 pagi ini dikendalikan oleh dua instruktor berpengalaman, iaitu Encik Ahmad Akmal Idris dan Encik Roslan Mohd Nor, yang membimbing para peserta dengan aktiviti fizikal ringan serta elemen kecergasan mental bertujuan memperkukuhkan keseimbangan gaya hidup staf.
Program ini merupakan salah satu inisiatif PTDI dalam menangani isu kesihatan dalam kalangan staf yang semakin menjadi perhatian, selain menyemai kesedaran berkenaan penjagaan diri secara menyeluruh. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menyeronokkan, tetapi turut memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat dan pentingnya pengurusan tekanan secara bijak.
Menurut salah seorang peserta, kesihatan fizikal dan mental yang seimbang bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan individu, tetapi juga meningkatkan tahap fokus, motivasi, dan prestasi kerja harian. Antara objektif utama program ini adalah untuk membantu warga kerja menangani tekanan dan keletihan mental, meningkatkan kecergasan fizikal serta menyokong budaya kerja yang sihat dan seimbang di tempat kerja.
Program Sejahtera 360: Sihat Bersama diakhiri dengan semangat yang positif serta maklum balas memberangsangkan daripada peserta. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala sebagai salah satu usaha berterusan dalam memperkukuh kesejahteraan dan produktiviti staf UiTM.
Pautan media sosial : media sosial