10 Julai 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah melaksanakan satu sesi rakaman program resensi buku yang melibatkan seramai 10 orang pelajar Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia yang kini sedang menjalani latihan industri di UiTM Cawangan Kedah. Rakaman ini telah diadakan pada jam 10.00 pagi bertempat di Ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah.
Program ini bertujuan memperkasa budaya membaca dan menggalakkan pemikiran kritis melalui aktiviti resensi buku, di samping memperkenalkan karya-karya sastera tempatan kepada pelajar antarabangsa. Dua buah buku tempatan telah dipilih untuk diresensikan dalam sesi ini, iaitu "Anekdot Jalanan" dan "Patah Sayap Sebelum Sembuh 2".
Pelajar-pelajar yang terlibat telah berkongsi pandangan mereka terhadap tema, mesej dan gaya penyampaian dalam kedua-dua buku tersebut. Ulasan mereka mencerminkan pemahaman yang mendalam serta membina terhadap isu-isu yang diketengahkan oleh penulis, di samping membandingkan pendekatan sastera antara Malaysia dan Indonesia.
Impak program ini amat ketara, khususnya dalam memperkukuh keyakinan diri dan kemahiran komunikasi pelajar latihan industri. Melalui aktiviti ini, mereka bukan sahaja didedahkan kepada kandungan intelektual tempatan, malah dapat mengasah kemahiran analisis, penyampaian lisan dan penulisan akademik.
Selain itu, program ini memberi nilai tambah kepada pengalaman latihan industri mereka dengan melibatkan mereka dalam aktiviti akademik sebenar yang berteraskan ilmu, budaya dan jaringan antarabangsa. Ini secara langsung memperkukuh peranan Perpustakaan Sultan Badlishah sebagai pusat ilmu yang dinamik dan menyokong aspirasi pengantarabangsaan UiTM.
Rakaman sesi ini akan disunting dan diterbitkan sebagai kandungan digital rasmi perpustakaan yang akan dikongsi melalui saluran media sosial dan platform promosi institusi.
Para peserta menyatakan rasa bangga dan bersyukur kerana diberi ruang menyertai program ini dan berharap ia dapat diteruskan sebagai program tahunan yang melibatkan lebih banyak penyertaan pelajar antarabangsa serta pelajar tempatan.