SEGAMAT, 19 Jun 2025 – Seramai 61 orang pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat telah menyertai Bengkel “Pemuliharaan Bahan Arkib Menggunakan Teknik Pengawetan” yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program ini bertujuan memberikan pendedahan secara teori dan praktikal mengenai teknik asas dalam pemuliharaan dan pengawetan bahan arkib yang bernilai sejarah tinggi.
Bengkel tersebut menampilkan dua penceramah berpengalaman daripada Arkib Negara Malaysia, Negeri Melaka iaitu Encik Namsivayam a/l Martin (Penolong Pegawai Arkib) dan Encik Muhamad Shukri Jalani (Pembantu Arkib). Mereka berkongsi pengetahuan mendalam mengenai teknik pengendalian, pemulihan dan penjagaan dokumen serta bahan arkib agar kekal terpelihara untuk rujukan generasi masa hadapan.
Sepanjang bengkel, para peserta berpeluang mengikuti sesi demonstrasi secara langsung mengenai pengawetan bahan arkib seperti teknik pembersihan dokumen, penggunaan bahan kimia dan alat khas, serta kaedah penyimpanan yang sesuai. Sesi ini turut dibantu oleh urusetia berpengalaman, Encik Amin Norudin dan Encik Mohd Azmi Samsuri (Pembantu Pustakawan Kanan), yang memastikan perjalanan bengkel berjalan lancar dan teratur.
Bengkel ini bukan sahaja menambah ilmu dalam bidang pengurusan rekod dan arkib, malah turut memupuk kesedaran pentingnya melestarikan dokumen warisan negara. Usaha seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi negara dalam memelihara sejarah dan identiti bangsa melalui penjagaan sumber maklumat yang autentik dan sahih.
Pautan media sosial : media sosial