12 Jun 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary, Alor Setar dalam satu program lawatan akademik yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi. Lawatan ini melibatkan seramai 134 orang pelajar dan 15 orang guru, bertujuan memberi pendedahan awal tentang suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi dan peranan perpustakaan sebagai pusat sumber ilmu.
Sepanjang program, pelajar diberi taklimat ringkas berkenaan fungsi dan peranan perpustakaan dalam menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan di peringkat universiti. Selain itu, para pelajar turut diperkenalkan kepada budaya pembelajaran kendiri dan kolaboratif dalam kalangan pelajar institusi tinggi, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai keperluan literasi maklumat pada abad ke-21.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada pelajar sekolah menengah untuk memahami persekitaran kampus yang kondusif, serta kepelbagaian pendekatan pembelajaran moden yang diaplikasikan dalam sistem pendidikan tinggi. Para pelajar dilihat begitu teruja dan memberikan perhatian sepanjang sesi berlangsung, malah ada yang menyuarakan minat mereka untuk menyambung pengajian di UiTM selepas tamat persekolahan kelak.
Menurut salah seorang guru, program seumpama ini amat bermanfaat dalam merangsang semangat pelajar untuk berusaha lebih gigih mencapai kejayaan akademik. Lawatan ini juga dapat mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan menengah dan universiti, selaras dengan usaha berterusan membentuk generasi berilmu, berdaya saing dan berwawasan. Perpustakaan Sultan Badlishah berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.