12 JUN 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program Sambutan Hari Arkib Antarabangsa yang berlangsung di Ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Sultan Badlishah bermula jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Program ini merupakan inisiatif untuk meningkatkan kefahaman serta kesedaran warga kampus terhadap kepentingan pengurusan rekod dan pemuliharaan maklumat secara sistematik.
Majlis telah dirasmikan oleh Puan Azizah Khasim, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (M) (KUP), Perpustakaan Sultan Badlishah, yang menyatakan bahawa pengurusan rekod yang cekap memainkan peranan penting dalam mengekalkan integriti sesebuah organisasi serta menjadi asas kepada rujukan masa hadapan. Kehadiran peserta daripada pelbagai jabatan mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan pengurusan arkib universiti.
Antara pengisian utama program adalah Taklimat Pengurusan Rekod yang disampaikan oleh Puan Atirah Ruslan, Ketua Unit Arkib Universiti bersama Encik Rosdi Hamad Rodzi, Pembantu Pustakawan Kanan dan Puan Noor Azlina Mat Esof, Pembantu Pustakawan. Turut diadakan ialah sesi perkongsian mengenai penjilidan dan pemuliharaan bahan oleh Encik Mohd Rostam Mohamad@Ahmad dan Encik Mohammad Ameerul Mohd Isa, Pembantu Pustakawan Kanan, yang mempamerkan teknik-teknik penjagaan bahan fizikal perpustakaan untuk jangka panjang.
Program diserikan lagi dengan pameran bertajuk “Cakna Pengurusan Rekod” yang memberi maklumat visual mengenai proses dokumentasi, kepentingan rekod rasmi dan peranan unit arkib dalam pembangunan institusi. Program ini bukan sahaja berjaya menyemai kesedaran, malah memperkukuh usaha Perpustakaan Sultan Badlishah dalam memperkasa pengurusan maklumat dan warisan dokumentasi UiTM secara menyeluruh.