Shah Alam, 18 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada delegasi Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diketuai oleh Puan Aimi Umaimah, Timbalan Ketua Pustakawan DBP. Seramai 22 orang pegawai dan staf PDM turut serta dalam lawatan ini yang berfokus kepada penerokaan strategi pendigitalan dan pembangunan sistem perpustakaan berteraskan teknologi semasa.
Sesi lawatan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ts. Haji Azizi bin Hj Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, yang menyampaikan hala tuju strategik PTAR dalam mendepani cabaran masa hadapan melalui pendigitalan koleksi dan penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Beliau turut menegaskan komitmen PTAR sebagai institusi maklumat proaktif dalam mendukung transformasi ekosistem ilmu digital universiti.
Slot pembentangan diteruskan oleh Dr. Hajah Zalifah Awang Zakaria, Pengarah Bahagian Perpustakaan Digital, yang mengetengahkan amalan terbaik PTAR dalam pembangunan sistem digital perpustakaan. Antara inisiatif utama yang dibentangkan termasuk projek automasi dalaman, sistem pengurusan repositori universiti, serta integrasi sistem pintar yang meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pengguna.
Turut berkongsi pengalaman ialah Puan Wan Izzatul Fahrah Wan Ishak dan Encik Mohd Faizal Sawardi Lokman, yang aktif dalam pembangunan sistem digital PTAR. Mereka menerangkan bagaimana pendekatan kolaboratif antara pustakawan, pegawai teknologi maklumat dan pihak pengurusan telah mempercepatkan transformasi digital secara berfasa dan berimpak tinggi.
Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kepakaran, malah memperkukuh hubungan strategik antara institusi dalam usaha memartabatkan dokumentasi dan warisan bangsa melalui pendekatan digital.
📌 PTAR terus komited sebagai peneraju dalam pembangunan perpustakaan pintar universiti, selaras dengan aspirasi digital negara.