Shah Alam, 20 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam berbesar hati menerima kunjungan istimewa daripada Tuan Syamsul Amri Ismail, atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat (SD), seorang penceramah motivasi tersohor tanah air dan juga alumni Fakulti Undang-Undang UiTM, graduan tahun 2000.
Kunjungan ini amat bermakna apabila beliau disambut mesra oleh Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Hj Jantan serta warga kerja PTAR. Dalam lawatan tersebut, beliau telah dibawa menelusuri pelbagai ruang ilmu yang terdapat di PTAR, termasuk Bahagian Arkib Universiti (BARU).
Antara detik paling menyentuh perasaan ialah ketika beliau diberikan peluang untuk melihat kembali Fail Peribadi Pelajar miliknya, yang disampaikan oleh Puan Siti Salwa A. Rahma, Pustakawan BARU. Detik tersebut bukan sahaja mengimbau nostalgia zaman pengajian, malah melambangkan ikatan berterusan antara alumni dan institusi yang pernah membentuk jatidiri mereka.
Lawatan turut diteruskan ke Sudut Koleksi Khas Jawi di Aras 4 PTAR, di mana koleksi bernilai tinggi yang memelihara warisan keilmuan Melayu dan Islam dipamerkan. Penceritaan mengenai koleksi ini menzahirkan komitmen PTAR dalam memartabatkan khazanah ilmu bangsa dan agama.
Kehadiran tokoh motivasi yang juga figura alumni ini di Rumah Ilmu UiTM diharap dapat menjadi inspirasi kepada warga kampus dan alumni untuk terus menjadikan perpustakaan sebagai pusat pengembangan ilmu, budaya dan warisan. PTAR kekal komited sebagai peneraju budaya ilmu dan pemerkasa jaringan keilmuan sejajar dengan aspirasi UiTM.